Kerajaan Negeri Sembilan perkasa kebajikan penjaja: MB

Menteri Besar (tengah) semasa melawat Pusat Penjaja Senawang.
Menteri Besar (tengah) semasa melawat Pusat Penjaja Senawang.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan terus membantu dan memperkasakan kebajikan penjaja bagi meningkatkan ekonomi mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melaksanakan program penyusunan penjaja adalah untuk memperkasakan mereka.

“Banyak aduan diterima daripada penduduk setempat berkenaan sampah sarap yang ditinggalkan oleh penjaja serta berlaku gangguan lalu lintas.

“Jadi, di bawah program penyusunan penjaja, mereka akan ditempatkan semula di Pusat Penjaja Setempat supaya mereka boleh berniaga dalam keadaan selesa, selamat dan pengurusan sampah lebih sistematik," katanya.

Tambahnya, MBS mengenal pasti 41 lokasi dengan 890 jumlah petak yang sesuai untuk dijadikan tapak Pusat Penjaja Setempat.

“Apabila ada tempat lebih baik, penjaja mempunyai peluang untuk buat pinjaman (bank), beli rumah atau aset. Kita mahu memperkasakan penjaja, bukan mahu merosakkan mereka, malah kita juga berjuang untuk mereka dan nak pastikan penjaja dibela.

“Insya-ALLAH tahun depan, lebih banyak pusat penjaja didirikan dan kita akan gunakan duit kerajaan negeri untuk membangunkan pusat penjaja,” kata beliau lagi.

Tambah Aminuddin, pihaknya memberikan insentif sebanyak RM300 secara one-off kepada penjaja yang bersetuju untuk berpindah ke Pusat Penjaja Setempat.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, MBS sudah menyiapkan 503 jumlah petak niaga di 20 lokasi, manakala 21 lokasi lagi sedang dalam proses penyediaan tapak.

Seramai 264 penjaja ditawarkan tapak berniaga dan 293 penjaja pula dalam proses penempatan antaranya di Tapak Penjaja Dataran Senawang, Tapak Penjaja Taman Sri Pandan, Sikamat (berhadapan Zemart) dan di Dataran Centrio, Seremban 2.