Empat kartel dadah antarabangsa tumpas

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak empat kartel dadah antarabangsa tumpas dalam serbuan berasingan dalam tempoh tiga hari di Kelantan, Perak dan Perlis dengan nilai rampasan dadah lebih RM65 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, Kelantan mencatatkan kejayaan besar apabila berjaya merampas dadah jenis syabu, ganja dan pil yaba bernilai lebih RM59 juta dalam dua serbuan berasingan.

Beliau berkata, dalam serbuan di sebuah rumah di Kota Bharu, pasukan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menemui lebih 1,293 kilogram (kg) ganja, lebih 972kg syabu dan lebih 11,800 biji pil yaba dianggarkan bernilai melebihi RM42 juta, selain sepucuk pistol jenis Glock bersama lapan butir peluru.

"Susulan itu, siasatan berjaya menahan lima lelaki berusia 26 hingga 33 tahun yang memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan seorang wanita berusia 25 tahun di sebuah rumah di Kota Bharu. JSJN turut menyita wang tunai lebih RM180,000 dalam serbuan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ramli berkata, satu lagi kejayaan membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menemui longgokan 22 guni plastik warna putih di kawasan hutan berhampiran Sungai Golok, Kelantan ketika sedang membuat rondaan pada jam 7 pagi kelmarin.

"Hasil pemeriksaan menemui ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat lebih 440kg yang disembunyikan dalam plastik minuman teh dianggarkan bernilai lebih RM17 juta," katanya.

Mengulas mengenai serbuan di Perak, Ramli berkata, pihaknya merampas 214kg ganja yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran tempatan.

Selain itu, katanya, dalam serbuan di sebuah rumah di Padang Besar, Perlis, JSJN berjaya merampas 126kg syabu serta 100kg ganja dengan penahanan dua lelaki berusia 16 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Hasil soal siasat, JSJN Perlis kemudian membawa penahanan seorang lelaki berusia 43 tahun Padang Besar disyaki ketua sindiket. Ketiga-tiga suspek ini juga didapati positif dadah," katanya.