X

Kindly register in order to view this article
!

Guoying Group bakal pacu ekonomi Perak

Kuok Koi (kiri) dan Han Keat dalam satu majlis baru-baru ini. Kedua-duanya sedang memperincikan cadangan projek pembangunan di Perak.
A
A

GUOYING Group Co Ltd (Guoying Group) sedang menunggu kelulusan permohonannya berkaitan pembangunan di atas tanah berkeluasan 320 hektar (791 ekar) di selatan Perak daripada Kerajaan Negeri Perak.

Pengerusinya, Wan Kuok Koi berkata, pada Julai lepas, beliau telah memohon kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perak untuk pembangunan tersebut.

“Jika kerajaan negeri itu meluluskannya, Guoying Group akan memulakan suntikan dana berjumlah RM100 juta untuk pembangunan tanah berkenaan.

“Kami merancang untuk membangunkan resort air panas di Perak dan membina 80,000 pelbagai jenis kediaman dalam tempoh tiga tahun bagi memacu pembangunan di negeri Perak, “ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan INIX ke 15 yang diadakan hari ini.

Kuok Koi juga berhasrat untuk bekerjasama dan menambahkan pelaburan di Malaysia dan terlibat dalam ekonomi pasca pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Katanya, beliau telah mengadakan lawatan ke Perak pada Januari lalu dan menemui kerajaan negeri.

“Pada waktu itu, kami bertemu Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan Pengarah Eksekutif INIX, Lee Han Keat,” katanya.

Buat masa ini, katanya, beliau dan Han Keat berbincang dengan kerajaan negeri Perak untuk memperincikan cadangan perancangan untuk memastikan ia memberikan manfaat kepada pembangunan dan pembinaan, sekali gus mempromosikan pembangunan ekonomi negeri itu.

Kuok Koi merupakan usahawan Hong Kong dan Macau yang telah dilantik Pengerusi INIX Technologies Holdings Bhd pada bulan lepas.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!