X

Kindly register in order to view this article
!

Walaupun tewas, Pejuang berada dalam kelas tersendiri

Dr Hamidin (tengah) bersama barisan panelis program 'Wacana Pasca PRK Slim dari Slim ke Borneo: Menuju Pilihan Raya Umum ke-15 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim membuktikan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berada dalam kelas tersendiri.

Badan penyelidik, Ilham Centre juga menyifatkan Pejuang yang baru ditubuhkan itu mampu untuk menarik sokongan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun tewas pada PRK Slim.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Hamidin Abdul Hamid berkata, ia juga bukti Dr Mahathir masih lagi berupaya menempatkan dirinya dalam kancah politik Malaysia dan politik Melayu.

"Saya melihat Pejuang memberikan sesuatu yang menarik dalam konteks PRK Slim dan nasional.

"Pertama, apabila kami (Ilham Centre) melakukan kajian di peringkat awal, tertanya-tanya juga siapakah calon (pembangkang) yang akan berdepan (Muafakat Nasional) di PRK Slim.

"Menarik untuk dilihat ialah di sebalik kegagalan mereka meraih undi besar berdasarkan betapa kuatnya kubu UMNO di Slim, kami merasakan jika dia tidak hilang wang pertaruhan sudah merupakan satu kemenangan," katanya pada program 'Wacana Pasca PRK Slim dari Slim ke Borneo: Menuju Pilihan Raya Umum ke-15' anjuran Ilham Centre dan Universiti Malaya yang berlangsung di Universiti Malaya di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar; Ketua penyelidiknya, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim dan Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi serta wartawan, Chan Kok Leong.

Pada PRK Slim lalu, calon Bebas yang mewakili Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi hanya memperoleh 2,115 undi, bagaimanapun ia disifatkan sebagai 'menang' kerana Slim merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Mukhriz (kiri) pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pejuang di Slim River.
Mukhriz (kiri) pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pejuang di Slim River.

Mengulas lanjut, Dr Hamidin berkata, Ilham Centre sebelum ini juga menjangkakan kira-kira 80 peratus pengundi akan mengundi BN pada PRK Slim, sekali gus memberi laluan amat sukar bagi calon Pejuang.

Namun, beliau berkata, mereka melihat kempen Pejuang sangat bersasar, teratur dan terdapat eleman segar iaitu keterampilan calon Bebas mewakili parti pimpinan Dr Mahathir itu yang menarik untuk dilihat.

"Sekiranya templat ini berjaya diguna pakai oleh Pejuang, saya kira parti itu akan mendapat tempat yang tersendiri dalam senario baharu politik Melayu di Malaysia.

"Dalam konteks ini, walaupun mereka tewas, namun mereka tidak tunduk, sebaliknya mereka senyum," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengundi Slim mahu YB fokus ekonomi, tingkat taraf hidup


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!