Enam individu merusuh didenda RM1,300

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sembilan individu yang tular dalam laman sosial berhubung insiden rusuhan berkaitan pemasangan paip gentian di Jalan Keramat Wangsa pada Mac lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Aina Azahra Ariffin menjatuhkan hukuman denda RM1,300 terhadap enam tertuduh iaitu Muhamad Fazlli Abd Rahman, 29; Mohd Saufyq Mohd Nasir, 42; Rosman Basron, 45; Izanuddin Abas, 38; Muhammad Azzad Abdullah, 32; dan Hendriyanto Baslan, 32, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan merusuh.

Bagaimanapun tiga tertuduh lain iaitu Fitrishah Akhbar Mohd Kasim, 43; Mohd Maliki Makhtar, 45, dan Ahmad Hasif Ahmad Amirsa, 29, mengaku tidak salah.

Mengikut pertuduhan kesemua tertuduh bersama-sama pada 1 Mac lalu jam 3.35 petang di Jalan Keramat Wangsa didapati dengan niat bersama telah melakukan satu kesalahan merusuh di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Illya Syaheedah Mohd Razif tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun peguam P Muniswer, mewakili enam tertuduh iaitu Muhamad Fazlli, Mohd Saufq, Rosman, Izanuddin, Muhammad Azzad, Hendriyanto, memohon jumlah denda minimum kerana anak guamnya turut mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Menurutnya, kesalahan keenam-enam anak guamnya itu merupakan kesalahan pertama dan tertuduh tidak pernah ditangkap.

Artikel Berkaitan:

Peguam, Nur'Ain Shahiera Khalid mewakili tiga lagi tertuduh, iaitu Fitrishah Akhbar, Mohd Maliki dan Ahmad Hasif, memohon jaminan rendah berikutan ada di antara anak guamnya mengalami penyakit kencing manis dan menanggung keluarga yang juga orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,500 terhadap setiap tertuduh iaitu Fitrishah Akhbar, Mohd Maliki dan Ahmad Hasif.

Tarikh 6 Oktober depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi ketiga- ketiga tertuduh berkenaan serta serahan dokumen.

Difahamkan dalam kejadian 1 Mac lalu, kekecohan itu berlaku apabila seorang daripada kumpulan lelaki yang juga kontraktor didakwa mencederakan seorang daripada kumpulan peniaga kedai makanan yang mahu berunding mengenai pemasangan paip gentian yang dipasang di kawasan terbabit.

Video dan gambar insiden pergaduhan kejadian itu turut tular di laman sosial, Facebook dan aplikasi WhatsApp.