Pusat Pendidikan Kesultanan Islam Johor ditubuhkan

Pelancaran buku Antologi Pemikir Bangsa dan Antologi Pintu Mabrur di Marsah, Johor Bahru hari ini.
Pelancaran buku Antologi Pemikir Bangsa dan Antologi Pintu Mabrur di Marsah, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) akan menubuhkan Pusat Pendidikan Kesultanan Islam Johor, sekali gus memperkenalkan kursus baharu iaitu Kesultanan Islam Johor dalam masa terdekat.

Pemangku Rektor Marsah, Datuk Mohd Noh Ibrahim berkata, pusat pendidikan itu akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Majlis Jumaah Diraja, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dan Arkib Negara Malaysia Negeri Johor.

"Kerjasama tersebut yang turut melibatkan Tetuan Ikbal Salam itu adalah bagi menilai, menjaga mutu dan membuat penambahbaikan program berkenaan dari masa ke semasa.

"Kursus itu pula merangkumi kandungan sistem Kesultanan Islam Johor dan sistem pentadbiran agama Islam di negeri ini yang telah bertapak sejak dahulu dan menjadi pegangan, adat dan budaya bertunjangkan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya ketika berucap dalam Majlis Kerjasama Marsah dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) serta Pelancaran buku Antologi Pemikir Bangsa dan Antologi Pintu Mabrur dalam tulisan Jawi di Marsah, Larkin di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadot yang juga Ahli Lembaga Marsah; Pengerusi Lembaga Pengelola Marsah, Datuk Mohd Tahrir Samsudin; Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Abdul Rashid A Rahman dan Ketua Satu PPJ, Amiruddin Md Ali Hanafiah.

Mohd Noh (kiri) dan Amiruddin menunjukkan dokumen yang ditandatangani selepas memeterai memorandum persefahamandi Marsah, Johor Bahru hari ini.
Mohd Noh (kiri) dan Amiruddin menunjukkan dokumen yang ditandatangani selepas memeterai memorandum persefahamandi Marsah, Johor Bahru hari ini.

Mohd Noh berkata, kursus itu akan diperkenalkan kepada murid Darjah Satu sehingga Darjah Khas atau daripada usia 7 tahun hingga 13 tahun.

Selain itu, katanya, Marsah juga mempunyai perancangan jangka masa panjang iaitu menubuhkan Pusat Persuratan Melayu Islam yang akan berperanan mengekalkan legasi Johor sebagai pusat persuratan Melayu terulung satu ketika dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini amat penting kerana daripada sejarah, pada abad ke-20 muncul pujangga ulung penerus legasi persuratan Melayu yang tiada tandingannya. Tokoh dimaksudkan ialah Datuk Mejar Mohd Said Sulaiman.

"Beliau menerajui Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor yang berpusat di Johor Bahru pada masa pemerintahan Sultan Ibrahim dari 1895 hingga 1959. Beliau menulis dalam pelbagai genre seperti bahasa, sejarah dan agama termasuk karya sastera," katanya.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, kursus Kesultanan Islam Johor merupakan usaha penting bagi melahirkan Bangsa Johor yang berjati diri, cintakan negeri, memahami sejarah Kesultanan Johor, mentaati pemerintah dan berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Marsah akan dinaik taraf sebagai sebuah kolej universiti dan usaha itu sedang giat dijalankan barisan pengurusan dan pentadbir yang kelak akan menjadi mercu tanda penting dalam bidang pengajian Islam di Johor.