Isteri, anak dibelasah gara-gara tidak jawab telefon

Mohd Adli Mat Daud
Mohd Adli Mat Daud
A
A
A

HULU TERENGGANU - Tidak sanggup berdepan dengan sikap panas baran bapa yang sering memukul dia dan ibu selama ini, seorang anak bertindak membuat laporan polis mendedahkan perbuatan tidak berperikemanusiaan lelaki itu kelmarin.

Gadis berusia 19 tahun itu nekad melaporkan kejadian apabila dia dan ibunya berusia 50-an dibelasah suspek berusia 65 tahun dengan kerusi hanya disebabkan tidak menjawab panggilan telefon di rumah mereka di Kuala Berang di sini Sabtu lalu.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari ini, dua beranak itu pergi ke bandar untuk membeli barang dapur dengan menaiki motosikal.

"Setibanya mereka di rumah, suspek sudah menunggu di hadapan pintu utama dalam keadaan yang tidak berpuas hati lalu bertanya kepada anak gadisnya kenapa tidak menjawab telefon.

"Mereka memaklumkan yang tidak dengar kerana berada di atas motosikal sebelum warga emas itu meminta telefon bimbit milik isterinya lalu dipecahkan menggunakan tukul besi.

"Masih tidak berpuas hati, suspek mengambil kerusi di dapur dan terus memukul kedua-dua belah paha dua beranak itu sehingga lebam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, lelaki itu turut memukul mereka menggunakan papan pemotong makanan selain menumbuk dan menampar pipi sehingga mengalami kecederaan.

"Pada awalnya, mangsa membuat keputusan untuk mendiamkan diri kerana memikirkan kehidupan mereka sekeluarga serta dalam masa sama, kasihankan ibunya dan ingin menjaga maruah keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi sikap ayahnya semakin menjadi-jadi mendera mereka sekeluarga, malah dalam masa sama, ibunya yang sudah tidak tahan sering dipukul suspek menghubungi adiknya yang tinggal di Kuala Lumpur bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Jelas sumber, penderitaan dua beranak itu terus dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya sebelum suspek ditahan untuk siasatan lanjut, petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.