Seramai 48 individu ditahan ingkar PKPP

Ismail Sabri -Foto Bernama
Ismail Sabri -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 48 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengetuai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PKPP mengeluarkan kompaun terhadap 47 daripada individu berkenaan manakala seorang lagi dijamin.

Menurutnya, tidak memakai pelitup muka dilaporkan sebagai kesalahan tertinggi melibatkan 17 individu diikuti premis beroperasi lebih masa membabitkan 13 orang.

"Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan dan catatan keluar masuk melibatkan 12 individu, melanggar perintah kuarantin (seorang) dan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakkan fizikal (lima)," katanya dalam kenyataan berhubung PKPP hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata, PDRM berjaya melakukan 28 tangkapan semalam melibatkan 83 pendatang asing tanpa izin serta masing-masing seorang tekong dan penyeludup, selain sebuah bot dan lima kenderaan darat turut dirampas.

"Sebanyak 79 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (65), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10) dan Angkatan Tentera Malaysia (empat). Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai lepas sehingga semalam seramai 22,252 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 70 hotel serta empat Institut Latihan Awam (ILA).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 8,985 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 13,201 individu lagi telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Artikel Berkaitan:

Katanya mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di 22 tapak binaan di seluruh negara semalam mendapati hanya satu tapak binaan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan diberi amaran.

Mengenai barang keperluan asas, Ismail Sabri berkata, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

"Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga telah melakukan 1,416 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,399 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 17 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP," katanya. - Bernama