Nelayan hilang: Usaha pencarian turut melibatkan aset udara

Pencarian Yoon Khong masuk hari keempat diteruskan Maritim bersama beberapa pasukan penyelamat lain.
Pencarian Yoon Khong masuk hari keempat diteruskan Maritim bersama beberapa pasukan penyelamat lain.
A
A
A

TANJUNG DAWAI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan dari Tanjung Dawai yang hilang sejak Rabu lalu kini diteruskan oleh pasukan penyelamat menggunakan aset udara.

Koordinator SAR dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, operasi digerakkan Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi meneruskan usaha pada hari keempat dengan lokasi pencarian kawasan seluas 1,500 batu nautika membabitkan pesawat.

Menurutnya, aset udara yang digunakan termasuk sebuah pesawat Polis Diraja Malaysia (PDRM), helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Operasi disambung seawal jam 7 pagi tadi dan semua agensi yang terlibat diberi taklimat di Jeti Awam Tanjung Dawai sebelum operasi mencari dan menyelamat diteruskan.

“Sektor pencarian dibahagikan kepada tujuh sektor berdasarkan aset-aset yang terlibat kawasan pencarian melibatkan keluasan 1,500 batu nautika dari lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, aset lain masih digunakan ialah kapal dan bot Martim, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin dan nelayan tempatan.

Rabu lalu, seorang nelayan dikenali Lai Yoon Khong, 41, dari Kampung Bagan Belat, Tanjung Dawai, dikhuatiri hilang apabila mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk menangkap ikan.

ARTIKEL BERKAITAN: MRSC aktif operasi SAR cari nelayan hilang

Artikel Berkaitan:

Mangsa dikatakan keluar bersendirian jam 1 tengah hari untuk menangkap ikan di perairan Kuala Muda dan Yan termasuk sekitar Kota Kuala Muda dan Pulau Bidan menggunakan bot miliknya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, isteri mangsa, Tok Sook Khim, 44, membuat laporan polis selepas lelaki itu tidak pulang ke rumah.

Difahamkan, mangsa yang menaiki bot fiber warna biru kebiasaannya pulang ke rumah semula pada jam 3 pagi, namun tidak muncul sehingga keesokan hari.

Orang awam yang mempunyai maklumat atau ternampak sebarang objek di kawasan berkenaan diminta membuat laporan melalui talian 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.