545 ahli Amanah sertai Bersatu

Abdul Rashid (dua dari kanan) menerima borang keahlian bekas ahli Amanah Kota Raja yang menyertai Bersatu yang disampaikan oleh Jaafar di Plaza Masalam, Shah Alam hari ini.
Abdul Rashid (dua dari kanan) menerima borang keahlian bekas ahli Amanah Kota Raja yang menyertai Bersatu yang disampaikan oleh Jaafar di Plaza Masalam, Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor hari ini menerima borang keahlian daripada 545 bekas ahli Parti Amanah (Amanah) Kota Raja.

Penyerahan borang itu diserahkan oleh bekas Ahli Jawatankuasa Amanah Selangor, Jaafar Samsudin kepada Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari di pejabatnya di Plaza Masalam, di sini hari ini.

Jaafar memaklumkan, lebih ramai ahli Amanah akan menyertai Bersatu sebagai sokongan terhadap kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan sebagai pemimpin yang bersifat sederhana dan menjaga kebajikan rakyat.

"Kami juga rasa tertarik dengan kepimpinan Bersatu Selangor diketuai Abdul Rashid yang peribadinya tenang dan penyabar.

"Keputusan Bersatu membuka laluan kepada ahli bukan Melayu turut menjadi tarikan kepada kami, malah lebih 200 ahli daripada kaum Cina dan India Kota Raja positif dengan Perikatan Nasional kerana membela rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas penyerahan borang keahlian Bersatu hari ini.

Katanya, beliau melihat tiada sebarang pembangunan di kawasan Kota Raja yang dibawa oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan dan juga ahli Parlimennya dari Amanah, Mohamad Sabu.

"Sebagai orang tempatan dan anak jati Kota Raja, kami memilih saluran Bersatu dalam memberikan khidmat lebih berkesan dan menyeluruh untuk membantu kawasan dan negeri.

"Kami mahu memberikan fokus pembangunan dan pembelaan untuk rakyat serta ahli Amanah yang dahagakan bantuan dan perhatian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Rashid menjelaskan kemasukan 545 ahli baharu itu menjadikan keahlian terkini ahli Bersatu di Selangor kini mencecah 55,000 orang.

"Kemasukan baharu dianggarkan 5,000 sejak Bersatu membuka keahlian kepada bukan Melayu.

"Sementara ahli Bersatu yang keluar parti seramai 122 orang termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri dari Kuang, Sallehudin Amiruddin, Jeram, Mohd Shaid Rosli dan Batang Kali, Harumaini Omar yang melepaskan jawatan dalam parti," katanya.

Katanya, Bersatu Selangor berada dalam keadaan baik dan semua ketua bahagian Bersatu menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin sebagai Presiden.

Semalam, Presiden Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa sebanyak 70 peratus ahli Bersatu meninggalkan parti itu dan menyertai Pejuang akibat rasa tidak puas hati terhadap pindaan Perlembagaan Bersatu yang membenarkan bukan Bumiputera menyertai parti itu.