19 tanah dirampas gagal bayar cukai

Sebanyak 19 hak milik tanah di daerah ini dirampas pada tahun 2018 kerana pemiliknya gagal membayar tunggakan cukai tanah walaupun Notis 6A iaitu Notis Tuntutan Hasil Terhutang dikeluarkan. Gambar kecil: Mohd Faizal
Sebanyak 19 hak milik tanah di daerah ini dirampas pada tahun 2018 kerana pemiliknya gagal membayar tunggakan cukai tanah walaupun Notis 6A iaitu Notis Tuntutan Hasil Terhutang dikeluarkan. Gambar kecil: Mohd Faizal
A
A
A

KUALA PILAH - Sebanyak 19 hak milik tanah di daerah ini dirampas pada tahun 2018 kerana pemiliknya gagal membayar tunggakan cukai tanah walaupun Notis 6A iaitu Notis Tuntutan Hasil Terhutang dikeluarkan.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, tindakan itu diambil selepas pemiliknya masih gagal berbuat demikian walaupun pihaknya berusaha membantu mereka menyelesaikan masalah tunggakan itu.

"Tindakan rampasan tanah ini dilakukan di bawah Seksyen 100 dan 130 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu tanah- tanah yang dirampas akan menjadi hak milik Pihak Berkuasa Negeri.

"Justeru, pemilik tanah perlu mengemukakan permohonan tanah semula di bawah Seksyen 76, Kanun Tanah Negara 1965 sekiranya ingin memiliki tanah tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tahun lalu pihaknya mengeluarkan 1,074 Notis 6A terhadap pemilik yang mempunyai tunggakan cukai tanah.

"Bagaimanapun, sehingga 31 Ogos lalu, tiada hak milik yang dirampas kerana sebahagian besar pemilik yang menerima Notis 6A akan segera menjelaskan tunggakan berikutan kesedaran yang diuar-uarkan melalui kempen 'Moh Dogheh Bayar Cukai Tanah'.

"Saya menyeru kepada semua pemilik tanah atau waris supaya tampil mengemaskini maklumat seperti nombor telefon, alamat dan status pemilik tanah di pejabat daerah dan tanah, di sini bagi membantu kita menyimpan data terkini pemilik tanah di Kuala Pilah. Selain itu, pemilik tanah juga boleh membuat bayaran bila-bila masa melalui saluran-saluran pembayaran sedia ada tanpa perlu menunggu bil sampai," katanya.

Sementara itu katanya, pada 2 Januari lalu, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah mengadakan kempen 'Moh Dogheh Bayar Cukai Tanah' yang julung kalinya menawarkan cabutan hadiah bertuah yang layak disertai oleh semua pembayar cukai sebelum 31 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

"Namun begitu, tempoh akhir bayaran cukai tanah ini telah dilanjutkan sehingga 31 Julai sebagai inisiatif kerajaan Negeri Sembilan dalam meringankan beban rakyat susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Tahun ini seramai 70 orang pembayar cukai tanah bertuah akan menerima pelbagai hadiah istimewa dengan menawarkan sebuah televisyen berukuran 55 inci sebagai hadiah utama. Ia sebagai penghargaan kepada mereka yang menjelaskan cukai tanah pada awal tahun tanpa dikenakan caj denda lewat.

"Orang ramai boleh berhubung dengan kami melalui Unit Hasil Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah melalui talian 06-4814155 atau 06-4814166 untuk sebarang pertanyaan mengenai kempen ini," katanya.