Timbus tunggul hapus bukti curi balak

Mohd Hizamri dan Nor Azirim memeriksa balak yang cuba dipindahkan secara haram di Hutan Simpan Berkelah. - Foto ihsan JPNP
Mohd Hizamri dan Nor Azirim memeriksa balak yang cuba dipindahkan secara haram di Hutan Simpan Berkelah. - Foto ihsan JPNP
A
A
A

KUANTAN - Mencabut tunggul pokok dan menimbusnya menggunakan tanah. Itu antara taktik dilakukan sindiket mencuri balak bernilai lebih RM700,000 di Hutan Simpan Berkelah dan Tanah Kerajaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, bagaimanapun tindakan sindiket berkenaan gagal apabila kegiatan mereka untuk memindahkan 1,500 tual balak pelbagai spesis seperti meranti, cengal, keruing dan merbau berjaya dikesan anggota unit penguat kuasa Zon Pahang Timur kelmarin.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan selepas menerima aduan awam berhubung kegiatan curi balak di kawasan hutan simpan terbabit.

"Pemeriksaan mendapati balak berkenaan telah diasingkan kepada 45 longgok dan ditempatkan sementara di matau atau kawasan simpanan kayu sebelum usaha memindahkannya dilakukan pihak terbabit.

"Sebanyak tujuh buah jentera membabitkan dua buah jengkaut, dua buah lori dan tiga buah jentolak disita," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad

Mohd Hizamri berkata, aktiviti pembalakan haram itu dipercayai dilakukan pekerja mahir dan terancang kerana cuba menghapuskan bukti tidak tidak sampai seminggu selepas menebang balak.

Katanya, sindiket berkenaan turut bertindak menutup laluan dengan membina batas dan menumbangkan pokok di atas jalan bagi mengelak anggota penguat kuasa memasuki kawasan berkenaan.

"Kita meluangkan masa lebih tiga jam melihat kawasan ceroboh di Hutan Simpan Berkelah seluas 20.23 hektar ini dan mendapati sindiket itu melakukan aktiviti menebang pokok secara terpilih.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, ahli sindiket terbabit turut bertindak menebang pokok pelbagai saiz dan spesis yang terdapat di kawasan zon penampan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan dalang di sebalik kegiatan curi balak berkenaan.

"Kertas siasatan berkaitan kes dibuka dan pasukan forensik Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dipanggil bagi membantu siasatan," katanya.