X

Kindly register in order to view this article
!

Warga Myanmar ditahan curi duit tabung masjid

Suspek warga Myanmar kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk. - Foto ihsan IPD Kemaman Gambar kanan: Antara wang tunai yang dirampas dipercayai hasil curi selepas memecah masuk masjid dan surau serta beberapa rumah dihuni warga asing sebelum ini. - Foto ihsan IPD Kemaman
A
A

KEMAMAN - Seorang warga Myanmar ditahan kerana terlibat beberapa kecurian termasuk duit tabung masjid dan surau di sekitar Kampung Gong Pauh, di sini, petang semalam.

Buruh binaan berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang, di tepi jalan Kampung Gong Pauh, di sini, kurang dari 24 jam selepas laporan kehilangan melibatkan tabung masjid Mak Chili Batu 2 1/2, yang dibuat di Balai Polis Chukai, di sini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kehilangan kedua-dua tabung yang diletakkan di pekarangan ruang legar masjid dan ruang solat wanita itu hanya disedari bilal bertugas pada jam 5.40 pagi, kelmarin.

Katanya, pemeriksaan mendapati pintu jeriji masjid diumpil dan kebetulan pada hari kejadian, kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam masjid tidak berfungsi.

"Meskipun begitu, usaha memburu suspek dilancarkan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman sebelum terserempak suspek yang dilihat mencurigakan. Pemeriksaan ke atas badan suspek menemukan beberapa barang kes sebelum siasatan lanjut dilakukan dan suspek mengaku memecah masuk masjid tersebut.

"Suspek turut mengaku memecah masuk Surau Kampung Jabor Kubur, di sini serta beberapa buah rumah dihuni oleh warganegara Indonesia dan Myanmar di Kampung Gong Pauh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hanyan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Dia direman untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!