Inkues Nora Anne: 29 premis diperiksa

Nora Anne
Nora Anne
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Koroner di sini, hari ini diberitahu bahawa sebanyak 29 premis termasuk resort persendirian telah diperiksa Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan bagi mencari petunjuk keberadaan remaja perempuan warga Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin, yang hilang pada 4 Ogos 2019.

Saksi ke-14 prosiding inkues bagi mencari punca kematian gadis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Azam Ismail memberitahu, ia membabitkan tujuh vila yang terdapat di resort The Shorea, yang terletak berdekatan dengan The Dusun Resort, lokasi penginapan remaja itu bersama keluarga sebaik tiba di Malaysia pada 3 Ogos 2019.

"Selain itu, turut diperiksa ialah lima vila persendirian dengan empat berpenghuni manakala satu tidak berpenghuni; sembilan premis dan resort persendirian dengan lima berpenghuni dan empat tidak berpenghuni.

"Kita juga memeriksa dengan teliti di The Dusun Resort membabitkan lapan vila termasuk kediaman pemilik resort," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid, pada prosiding inkues yang memasuki hari kelapan hari ini.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad yang juga pegawai pengendali inkues mengenai arahan lain yang diterima olehnya, saksi yang ketika kejadian memegang jawatan sebagai Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan berkata, selain itu, beliau dan pasukan turut diarahkan untuk menemu bual pegawai Jabatan Perhutanan di kaki Gunung Berembun, sekiranya terdapat petunjuk keberadaan remaja perempuan itu.

"Tapi, dimaklumkan bahawa orang hilang tidak memasuki kawasan berkenaan," kata Mohd Azam.

Selain itu, mahkamah turut dimaklumkan bahawa pihaknya turut ditugaskan untuk menyiasat latar belakang ahli keluarga Nora Anne serta membuat pemprofilan semua saksi terlibat termasuk penghuni yang pernah menyewa di resort berkenaan sebelum kejadian, bagi membantu siasatan.

"Profiling ini membabitkan keluarga pengadu (Pengurus The Dusun Resort, Haanim Ahmed Bamadhaj); pekerja dan bekas pekerja The Dusun; orang tempatan yang berada di sekitar resort pada hari kejadian dan penghuni yang pernah menginap di The Dusun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemprofilan itu bagi mendapatkan petunjuk baharu untuk meneruskan siasatan dengan berdasarkan perincian maklumat individu seperti rekod jenayah, rekod kenderaan dan latar belakang mereka.

Menjawab soalan Koroner Maimoonah apakah hasil daripada risikan dan siasatan terhadap ibu bapa Nora Anne, Mohd Azam berkata: "saya dapati mereka tidak pernah terbabit dengan rekod jenayah sama ada di dalam atau luar negara."

Koroner: Ada terima apa-apa maklumat sama ada mereka ada masalah dengan orang lain di luar negara?

Mohd Azam: Tiada Yang Arif.

Prosiding inkues telah berlangsung selama dua minggu bermula 24 Ogos lepas hingga 27 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 September.

Seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan dan setakat dua minggu lepas, seramai 14 saksi telah dipanggil memberi keterangan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos 2019, mayat Nora Anne ditemui berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

Prosiding inkues ditangguh dan akan bersambung pada 14 September.

- Bernama