Pengasuh tak sangka bayi dijaga akan jadi Agong

Hasimah sedang memegang gambar Al-Sultan Abdullah ketika kecil ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengkasar, hari ini.
Hasimah sedang memegang gambar Al-Sultan Abdullah ketika kecil ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengkasar, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Pengasuh yang menjaga Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah tidak menyangka bayi yang diasuh sejak berusia tiga hari dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Hasimah Mohd Ali, 84, berkata, dirinya yang menjaga Al-Sultan Abdullah yang ketika itu lebih mesra dipanggil Tengku Alam berbangga dengan pencapaian tuanku yang yang akan mengangkat sumpah jawatan berkenaan 31 Januari ini.

“Tuanku seorang yang tidak meragam ketika baginda masih bayi lagi dan seorang anak yang pendiam, manja dan sangat baik orangnya. Sejak kecil lagi sudah jelas nampak ciri-ciri tuanku sebagai seorang pemimpin dan saya yakin baginda akan menjadi seorang pemimpin yang berhati baik dan dekat dengan jiwa rakyat.

“Walaupun hanya menjaga sehingga umur baginda 6 tahun, namun hubungan kami masih rapat sehingga kini dan mendapat panggilan mak cik semah dari kecil sehingga sekarang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengkasar di sini, hari ini.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah pernah patah tangan selepas memanjat dan terjatuh dari pokok rambutan sehingga dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur.

“Mak cik masih ingat, ketika itu mak cik tak lagi jaga tuanku kerana berkahwin dan sedang mengandungkan anak sulung. Tuanku patah tangan disebabkan memanjat pokok rambutan. Mak cik dipanggil oleh pihak istana untuk menjaga tuanku di hospital kerana dia selalu panggil nama mak cik sambil menangis untuk menjaganya.

“Setibanya di hospital, mak cik dukung dia dan membawanya ke dalam bilik bedah dan alhamdulillah baginda selamat menjalani pembedahan. Selama dua minggu mak cik berada di Kuala Lumpur untuk menjaga baginda,” katanya.

Hasimah berkata, dia terpilih untuk menjaga Al-Sultan Abdullah kira-kira 60 tahun lalu dan dipanggil ke istana oleh Sultan Ahmad Shah yang ketika itu bergelar Tengku Mahkota Pahang ke istana.

Artikel Berkaitan:

“Istana sedang mencari pengasuh untuk menjaga Tengku Alam. Masa tu umur mak cik lebuh kurang 18 tahun dan tak sangka boleh terpilih masa. Mak cik menetap di Istana Mangga Tunggal di Pekan dan menjaga baginda sebelum baginda masuk sekolah rendah.

“Tuanku tidak cerewet memilih makanan. Makanan kegemaran ketika kecil roti yang disapu mentega dan cicahnya dengan telur separuh masak. Baginda sememangnya seorang yang dekat dengan rakyat, selalu ambil pendekatan jumpa dengan rakyat terutama ketika bencana. Semoga baginda sentiasa dirahmati ALLAH,” katanya.

Menurutnya, walaupun kenangan itu sudah lama berlalu namun menjaga Al-Sultan Abdullah suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan akan dikenang sampai bila- bila.