Pendeposit TH perlu sentiasa aktifkan akaun

Tabung Haji - Foto Malaysian Reserve
Tabung Haji - Foto Malaysian Reserve
A
A
A

SHAH ALAM – Pendeposit Tabung Haji (TH) yang tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun akan dikategorikan sebagai tidak aktif atau berstatus dorman.

TH dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, simpanan yang terdapat di dalam akaun dorman masih boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit apabila akaun mereka diaktifkan semula dengan melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi atau pengeluaran wang.

"Adalah penting bagi akaun pendeposit TH berstatus aktif supaya mereka terus menikmati manfaat menyimpan di TH seperti, simpanan dijamin kerajaan, mendapat agihan keuntungan, zakat dibayar, patuh syariah, dikecualikan cukai dan berpeluang menyertai kempen simpan, daftar dan menang,” katanya hari ini.

Kata kenyataan itu, pendeposit yang ingin mengaktifkan semula akaun, mereka boleh melakukan transaksi di 10,000 'touch points' TH sama ada melalui kaunter, dalam talian dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau mesin deposit tunai (CDM) rakan strategik TH.

“TH sentiasa mengingatkan pendepositnya supaya memastikan status akaun aktif selain mengemaskini maklumat peribadi seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris bagi memudahkan TH menghubungi pendeposit atau waris mereka untuk urusan penghantaran surat tawaran haji serta pengurusan akaun,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan (THCC) di 03-62071919.

Artikel Berkaitan: