Skim Rezeki Ternak masih diteruskan

Kenyataan media oleh DVS menafikan Skim Rezeki Ternak telah dihentikan seperti yang didakwa Pemuda Amanah Perak semalam.
Kenyataan media oleh DVS menafikan Skim Rezeki Ternak telah dihentikan seperti yang didakwa Pemuda Amanah Perak semalam.
A
A
A

IPOH - Bantuan Skim Rezeki Ternak yang diperkenalkan sebelum ini masih diteruskan dan tidak dihentikan seperti yang didakwa Pemuda Parti Amanah Negeri (Amanah) Perak, semalam.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam satu kenyataan media menjelaskan skim tersebut kini ditambah baik dengan perluasan skop bantuan.

Menurutnya, bantuan bukan sahaja diberikan kepada ternakan ruminan semata-mata tetapi merangkumi ternakan unggas seperti ayam kampung, itik dan puyuh.

"Peluasan skop Skim Rezeki Ternak ini telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Ogos 2020 dengan sasaran program ini melibatkan seramai 1,000 orang penternak.

"Skim ini lebih mesra penternak kerana ia merupakan bantuan geran penuh kerajaan," katanya dalam kenyataan media tersebut hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hashim menerusi satu kenyataan media di dalam blognya mendakwa Skim Rezeki Ternak yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini telah pun dibatalkan.

Dalam pada itu, DVS berkata, objektif Skim Rezeki Ternak adalah untuk mengekalkan populasi ternakan ruminan penternak kecil dan sederhana.

Selain itu juga katanya, skim tersebut membantu meningkatkan pendapatan penternak dan meningkatkan minat penternak kecil bagi meneruskan bidang usaha ternakan ruminan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi bantuan ternakan ruminan, setiap mereka menerima RM10,000 manakala bantuan makanan ruminan pula diberikan RM2,000 setiap seorang.

Bantuan ternakan unggas atau makanan unggas pula menerima RM5,000 setiap penternak manakala bagi bantuan peralatan dan kandang sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Jelas DVS, perluasan skim tersebut dapat membantu penternak yang menghadapi masalah dan kegawatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).