Bicara kes Ahmad Maslan 16 Oktober depan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan terhadap bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung dua pertuduhan dihadapinya akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini bermula pada 16 Oktober depan.

Dua pertuduhan itu adalah kegagalan mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim, Azman Ahmad menetapkan tarikh tersebut selepas kedua-dua pihak bersetuju mengenainya ketika sebutan semula kes itu, hari ini.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar manakala Ahmad diwakili peguam, Hamidi Mohd Noh.

Dalam pada itu, Hamidi memaklumkan kepada mahkamah, semakan kehakiman untuk membatalkan dua pertuduhan itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 14 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Maslan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan beliau dibebaskan daripada dua pertuduhan jenayah tersebut.

Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau didakwa menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 30 April, 2014.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.