Rugi RM5,000 diperdaya beli kereta terpakai

M Zambri Mahmud
M Zambri Mahmud
A
A
A

DUNGUN- Seorang jurujual berputih mata apabila bukan sahaja hajatnya untuk membeli sebuah kereta terpakai tidak kesampaian, malah terpaksa menanggung kerugian lebih RM5,000 selepas ditipu kelmarin.

Wanita berusia 21 tahun itu menyedari tertipu selepas gagal menghubungi individu bertanggungjawab menguruskan jual beli sebuah kereta jenis Proton Gen 2 yang ditawarkan dengan harga RM5,000.

Menurut sumber, mangsa yang tinggal di Kampung Gong Pasir, di sini sebelum ini tertarik dengan iklan kereta terpakai melalui satu laman web sejak awal Mac lalu.

Kata sumber, mangsa terus menghubungi nombor telefon yang tertera di ruang iklan berkenaan dan berurusan dengan seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai 'Taufik'.

"Sejurus menyatakan persetujuan, suspek meminta mangsa membuat pembayaran wang deposit berjumlah RM1,300 dengan memberi nombor akaun sebuah bank miliknya.

"Tanpa berlengah, mangsa memasukkan wang diminta ke dalam akaun bank diberikan dan suspek telah menyerahkan geran kereta tersebut sebelum meminta mangsa menjelaskan baki bayaran iaitu RM3,700, pada 16 Mac lalu.

"Suspek berjanji akan menyerahkan kereta tersebut keesokan harinya kerana sedang dibaiki di bengkel dan untuk meyakinkan mangsa, suspek memberikan nombor telefon kononnya milik bengkel tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Jelas sumber lagi, mangsa ada menghubungi nombor telefon diberikan selepas suspek tidak muncul pada hari dijanjikan dan dimaklumkan yang kereta itu masih belum siap dibaiki.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, selepas hampir tiga bulan membisu, pada Jun lalu, suspek menghubungi mangsa memaklumkan yang kereta tersebut tidak dapat dibaiki.

"Suspek turut menawarkan dua pilihan kepada mangsa sama ada mahu dipulangkan duit yang sudah dibayar ataupun memilih kereta lain yang masih ada," katanya.

Sumber berkata, mangsa memilih agar duitnya dipulangkan tetapi suspek meminta diberikan sedikit masa untuk berbuat demikian.

"Mangsa mula berasa tidak sedap hati kerana sehingga hari ini (kelmarin), dia masih belum menerima wang dijanjikan, malah nombor telefon suspek sudah tidak dapat dihubungi lagi.

"Yakin dirinya sudah ditipu, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

M Zambri turut menasihatkan orang ramai supaya elak membuat pembelian secara terburu-buru dan berhati-hati dengan para penjual yang mengiklankan apa sahaja barangan atau produk terutama yang menawarkan harga 'istimewa'.