Giliran Costa dikuarantin akibat Covid-19

Costa bintang bola sepak terbaharu yang disahkan positif Covid-19. -Foto : sport360
Costa bintang bola sepak terbaharu yang disahkan positif Covid-19. -Foto : sport360
A
A
A

Penyerang sensasi Atletico Madrid, Diego Costa menjadi pemain berstatus bintang terbaharu di kuarantin dua minggu selepas disahkan positif Covid-19 sekembalinya dari percutian musim panas baru-baru ini.

Bekas peledak Chelsea itu bersama rakan sepasukan, Santiago Arias yang juga disahkan positif Covid-19 dijangka bergelut untuk kembali pulih menjelang aksi pembukaan saingan La Liga berdepan Granada 27 September ini.

Menurut kenyataan rasmi daripada kelab berkenaan, hasil ujian yang diadakan di Wanda de Majadahonda Sports City baru-baru ini, kesemua pemain skuad utama lulus ujian awal yang diperlukan protokol bagi musim 2020/21.

"Semua pemain skuad senior hadir, kecuali pemain antarabangsa yang mempunyai komitmen dengan pasukan negara masing-masing, namun akan menjalani proses sama apabila selesai tugasan mereka.

"Begitu juga dengan Diego Costa dan Santiago Arias yang disahkan positif Covid-19 selepas bercuti di luar Madrid, kedua-kedua mereka perlu mematuhi protokol kesihatan seperti ditetapkan La Liga.

"Jadi Costa dan Arias tidak akan mengikuti pra musim kelab yang dijadualkan bermula pada 4 September di Wanda de Majadahonda Sports City, sehingga mereka selesai menjalani kuarantin," menurut kenyataan berkenaan.

Gergasi La Liga kendalian Diego Simeone akan memulakan latihan pra musim Sabtu ini tanpa kehadiran dua tonggak berkenaan dalam mengharungi saingan padat liga.

Status terbaharu Costa menjadikan pemain berusia 31 tahun itu kini mengikuti jejak bintang kelab Ligue 1 Perancis, Paris Saint Germain (PSG), Neymar, Angel Di Maria dan Leandro Paredes yang positif pandemik pembunuh nombor satu dunia ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu bintang sensasi Manchester United yang juga pemain Perancis, Paul Pogba dan Tanguy Ndombele (Tottenham Hotspur) terpaksa menarik diri daripada tugas antarabangsa bersama Perancis selepas positif Covid-19.

Perkara sama turut berlaku kepada lapan pemain Chelsea melibatkan Mason Mount, Tammy Abraham, Fikayo Tomori dan Christian Pulisic, Jorginho, Ross Barkley, Emerson dan Michy Batshuayi turut menjalani kuarantin di rumah setelah positif Covid-19 baru-baru ini.

Pemain sayap sensasi Wolves, Adama Traore juga sebelum ini antara yang terpaksa menarik diri daripada tugasan dengan skuad kebangsaan Sepanyol setelah positif Covid-19 sekaligus berputih mata untuk penampilan pertama bersama skuad La Roja itu.