'Kritikan Tun M ibarat kecil hati orang tua terhadap cucu'

Mohd Yusri menyifatkan kritikan Dr Mahathir terhadap idea penubuhan parti anak muda oleh Syed Saddiq ibarat kecil hati orang tua terhadap anak cucu.
Mohd Yusri menyifatkan kritikan Dr Mahathir terhadap idea penubuhan parti anak muda oleh Syed Saddiq ibarat kecil hati orang tua terhadap anak cucu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kritikan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap idea penubuhan parti orang muda oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman boleh diibaratkan sebagai 'kecil hati orang tua terhadap cucu'.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, keputusan Syed Saddiq tidak memilih menyertai perjuangan parti baharu diasaskan Dr Mahathir sebenarnya amat mengecewakan bekas Perdana Menteri itu.

Menurutnya, harapan Dr Mahathir terhadap Syed Saddiq sebenarnya sangat tinggi untuk sama-sama memperkukuhkan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang baru ditubuhkan khususnya sayap pemuda parti itu.

"Sekarang adalah fasa kritikal Pejuang untuk membuktikan sokongan dan penerimaan rakyat terhadap parti tersebut, apabila figura terdekat sendiri tidak menerimanya, ini sangat mengecewakan Tun (Dr Mahathir).

"Pada pandangan saya, inilah sebab utama yang mencetuskan kritikan Tun M (Dr Mahathir) terhadap idea penubuhan parti anak muda oleh Syed Saddiq, (ibarat) kecil hati orang tua terhadap anak cucu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir menyifatkan parti orang muda bakal digerakkan Syed Saddiq tidak akan berjaya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, walaupun orang muda merupakan majoriti dalam pemilihan, namun faktor itu tidak cukup untuk memenangi sesuatu kerusi.

ARTIKEL BERKAITAN: Parti orang muda Syed Saddiq tidak akan berjaya: Tun M

Artikel Berkaitan:

Syed Saddiq terima kritikan Tun M dengan hati terbuka

Mengenai citra perjuangan parti politik yang ingin dibawa Syed Saddiq, Mohd Yusri tidak melihat sebarang kecacatan terhadap idea penubuhan parti orang muda.

Menurutnya, dengan pelaksanaan Undi 18 nanti, parti ini akan mempunyai kumpulan sasar pengundi yang besar dengan potensi sokongan yang sangat tinggi.

"Pada masa sama, tentu sekali parti ini juga akan menyasarkan kumpulan pengundi sedia ada, khususnya pengundi lebih berusia.

"Dengan situasi sekarang yang menunjukkan orang ramai sudah mula muak dengan parti-parti dipimpin oleh pemimpin lanjut usia, parti anak muda berpotensi disokong oleh pelbagai kumpulan umur," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Yusri memberi amaran objektif penubuhan parti orang muda oleh Syed Saddiq hanya akan berjaya sekiranya mereka menggembleng semaksimum mungkin penglibatan orang muda tanpa mengira idealis pemikiran.

Menurutnya, parti orang muda dipimpin Syed Saddiq juga tidak boleh bersendirian dan perlu bergabung dalam mana-mana koalisi politik untuk meneruskan kelangsungan politik khususnya dalam pilihan raya.

"Jika digembleng semaksimum mungkin, saya agak positif untuk menjangkakan parti anak muda berjaya dengan mereka bersatu hanya atas satu pemboleh ubah iaitu orang muda.

"Pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14), landskap politik berubah sepenuhnya, tiada lagi mana-mana parti yang boleh berjaya seorang diri.

"Walaupun mereka parti anak muda, mereka perlu bergabung dalam mana-mana koalisi politik untuk meneruskan survival (kelangsungan) khususnya dalam pilihan raya," katanya.