Tubuh parti orang muda usaha sia-sia, kata penganalisis politik

Hasrat Syed Saddiq menjadikan platform parti anak muda sebagai batu loncatan bagi golongan itu mencapai kuasa politik negara dijangka sukar dilakukan.
Hasrat Syed Saddiq menjadikan platform parti anak muda sebagai batu loncatan bagi golongan itu mencapai kuasa politik negara dijangka sukar dilakukan.
A
A
A

SHAH ALAM - Cendekiawan sains politik, Dr Chandra Muzaffar bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan keputusan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merintis penubuhan sebuah parti politik orang muda sebagai satu usaha sia-sia.

Beliau berpendapat hasrat Syed Saddiq menjadikan platform parti anak muda sebagai batu loncatan bagi golongan itu mencapai kuasa politik negara sukar dilakukan dan jarang berlaku dalam sejarah.

Menurutnya, kenyataan Syed Saddiq mengambil inspirasi penubuhan parti orang muda daripada parti En Marche diketuai Presiden Perancis, Emmanuel Macron juga satu contoh tidak tepat kerana parti Macron itu sebenarnya melibatkan keahlian daripada semua peringkat umur.

“Parti Macron sebenarnya terbuka kepada semua. Memang dia sendiri (merupakan pemimpin) muda, tetapi dia tidak mengehadkan keahlian kepada golongan muda. Sebaliknya partinya itu terdiri beberapa pemimpin daripada pelbagai lapisan masyarakat, bukan khusus kepada golongan muda.

“Sekalipun parti baharu Syed Saddiq menyasarkan perolehan undi dalam kalangan golongan muda termasuk mereka yang baru mengundi kali pertama... katakanlah peratusan mereka dalam 15 hingga 20 peratus, tidak bermakna semua menyokong parti orang muda ini.

“Mereka juga mungkin cenderung menyokong parti tertentu kerana faktor individu, manifesto dan ideologi parti-parti ini memainkan peranan. Bagi saya pandangan golongan muda pasti akan menyokong parti orang muda kurang tepat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq tubuh parti baharu

Parti orang muda Syed Saddiq tidak akan berjaya: Tun M

Artikel Berkaitan:

Chandra turut berpendapat lebih baik golongan pemimpin muda sebegini menyokong, menyertai atau memimpin pergerakan lain seperti parti-parti lebih inklusif atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, mana-mana kepimpinan parti politik yang fokus hala tuju golongan muda semata-mata adalah sukar dicapai dan tidak akan menarik perhatian segmen pengundi lain untuk menyokong mereka.

“Dalam isu ini, asas perjuangan politik sebenar yang paling penting adalah keikhlasan pemimpin memperjuangkan sesuatu yang bermanfaat kepada rakyat dan negara, bukan soal pemimpin itu muda atau tua,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berpandangan, mana-mana parti baharu muncul dalam landskap politik negara ketika ini sememangnya berhadapan cabaran besar dalam memperkenalkan parti mereka termasuk parti Pejuang yang diasaskan Dr Mahathir.

Beliau turut memahami hasrat Syed Saddiq menubuhkan parti baharu sebagai persediaan masa hadapan di mana parti itu bakal menyasarkan sokongan daripada sekurang-kurangnya 3.7 pengundi muda atau mewakili 40 peratus daripada keseluruhan syer pasaran pengundi pada pilihan raya akan datang.

“Bagaimanapun, segalanya bergantung kepada agenda perjuangan politik yang dibawa Syed Saddiq untuk jangka masa panjang.

“Walaupun parti Syed Saddiq ada potensi mengembangkan gagasan politik orang muda tetapi mereka kena berhadapan corak pemikiran politik pengundi sedia ada yang masih berpegang teguh kepada pilihan keluarga, wilayah diduduki serta parti-parti yang wujud di tempat asal mereka,” katanya.

Di sebalik kritikan Dr Mahathir terhadap Syed Saddiq, Ibrahim turut mengemukakan teori menarik dengan menjangkakan kedua-dua parti yang diterajui dua bekas pemimpin Bersatu itu akan bekerjasama membentuk blok ketiga pada masa depan.

“Saya rasa pakatan politik antara parti Syed Saddiq dan Pejuang pada masa hadapan sangat berkemungkinan... lagipun Tun (Dr Mahathir) dan Syed Saddiq sangat rapat,” katanya.