Nafas baharu Kelantan

Barisan pemain Kelantan kini sudah boleh memberi fokus 100 peratus di tengah padang selepas Norizam sah menjadi pemilik TRW. - Foto Kelantan FA
Barisan pemain Kelantan kini sudah boleh memberi fokus 100 peratus di tengah padang selepas Norizam sah menjadi pemilik TRW. - Foto Kelantan FA
A
A
A

KELANTAN bagaikan mendapat 'nafas baharu' selepas pakar pelaburan dari Johor, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham sah mengambil alih Team Red Warriors (TRW) semalam.

Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah berkata, beliau menyambut baik tindakan Norizam itu sambil menganggap ia menjadi pembakar semangat buat pasukan dari Pantai Timur itu untuk meneruskan perjuangan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

“Sudah pasti kami kembali bersemangat bagi menghadapi baki cabaran Liga-M sebab semua orang tahu sebelum ini Kelantan adalah sebuah pasukan yang sangat uzur.

“Kami gembira dengan berita ini dan bersyukur dengan pengambilalihan oleh pemilik baharu kerana dalam keadaan sebegini, kita kena faham tiada siapa yang berani datang dan tampil untuk membantu.

“Apa yang beliau ingin lakukan dari segi perubahan, kami sebagai jurulatih dan pemain bersedia dan mengharapkan beliau terus dapat memperbaiki keadaan, sekali gus membawa kelantan kembali cemerlang selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Norizam secara rasminya menjadi pemilik baharu TRW selepas melabur RM6.8 juta untuk memiliki sepenuhnya saham dalam TRW Sdn Bhd pada satu majlis khas yang diadakan di Kota Bharu semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Zamburger beli TRW RM6.8 juta

Dalam majlis itu, Norizam menerima Perjanjian Pemilikan Penuh Syarikat TRW Sdn Bhd yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Shaari Mat Hussin dan timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah serta barisan pemain TRW.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, para pemain dan jurulatih Kelantan juga boleh kembali tersenyum apabila menerima pembayaran gaji sebulan yang dibayar oleh Norizam selepas masalah tersebut berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Mengulas lanjut, Yusri turut mengambil cabaran yang dilontarkan Norizam untuk kembali membawa Kelantan beraksi dalam kancah Liga Super musim depan.

“Sasaran ke saingan Liga Super itu memang agak berat, tetapi saya ambil ia sebagai cabaran kerana kita tidak dapat menidakkan permintaan pemilik pasukan (Norizam).

“Apa yang pasti, kami akan cuba buat yang terbaik. Kami kena faham bahawa beliau hadir menyelamatkan Kelantan menggunakan duitnya sendiri. Jadi tugas kami pula membantu beliau menaikkan kembali pasukan ini,” jelasnya.