Guna kelebihan aksi di laman sendiri

Zahasmi Ismail
Zahasmi Ismail
A
A
A

KELANTAN United perlu memanfaatkan peluang menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada aksi Liga Premier malam ini untuk meraih tiga mata, sekali gus menyalakan kembali perebutan mengisi kelompok terbaik musim ini.

Menurut pengendali Kelantan United, Zahasmi Ismail, kegagalan barisan depan kelab Pantai Timur itu menyempurnakan deretan peluang semasa menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II perlu diatasi segera sekiranya masih berhajat menyaingi kedudukan empat pasukan kelompok teratas.

"Jika kita tengok pemain-pemain Kelantan United memperoleh peluang merobek gawang lawan, namun gagal diterjemahkan dalam bentuk gol walaupun kita mendahului tuan rumah di Larkin minggu lalu dan saya yakin sekiranya kita memanfaatkan sebaiknya peluang itu kita mampu membawa pulang keputusan positif ke Kota Bharu.

"Jadi aksi menentang Kuala Lumpur malam ini saya mahu barisan lebih tajam dalam melakukan tindakan penyudah masing-masing agar kita tidak berputih mata lagi biarpun kita sudah memberikan persembahan terbaik seperti mana ketika menentang JDT II.

"Begitu juga bahagian pertahanan perlu lebih fokus pada masa sama memperkemaskan lagi benteng supaya kita tidak memberikan lagi gol mudah kepada pasukan lawan selepas ini.

"Kehilangan fokus ketika perlawanan memasuki fasa penting babak kedua perlulah dielakkan selepas ini kerana ianya secara tidak langsung merugikan pasukan," katanya kepada Sinar Harian.

Mengenai aksi menentang JDT II di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos itu, Zahasmi mengakui kecewa pelawat tewas tipis 2-3 kepada tuan rumah, namun tetap berpuas hati dengan komitmen diberikan dalam kalangan pemainnya.

"Biarpun tewas saya tetap berpuas hati dengan komitmen dan kerja keras paling penting semangat tidak berputus asa dalam kalangan pemain-pemain saya yang bangkit menyaingi lawan walaupun ketinggalan kerana JDT II pun bukan calang-calang kelab pada saingan Liga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Ini perlawanan kompetitif pertama dilalui pemain-pemain saya, jika kita tengok kedua-dua pasukan masih mencari rentak setelah hampir enam bulan berehat selepas penangguhan liga sejak pertengahan Mac lalu akibat Covid-19," kata pengendali berusia 53 tahun itu.

Zahasmi turut mengharapkan penyokong Kelantan United terus memberikan sokongan padu kepada kelab itu dalam meraih keputusan positif dalam baki perlawanan walaupun prosedur operasi standard (SOP) mewajibkan saingan berlangsung tanpa kehadiran penyokong akibat pandemik Covid-19.

"Tanpa kehadiran penyokong ini saya akui bahawa terasa sedikit sunyi kerana semua maklum sokongan pemain ke-12 ini penting untuk semua pasukan dalam meningkatkan motivasi pemain-pemain.

"Apapun saya dan pemain-pemain Kelantan United mengharapkan doa dalam kalangan penyokong dalam mengiringi perjuangan kami mengharungi baki saingan liga musim ini," ujarnya.