Piala Thomas: Jangan pandang mudah pasukan lawan

V Shem (kiri) dan Wee Kiong memburu tempat dalam skuad negara pada kempen Piala Thomas di Denmark Oktober depan.
V Shem (kiri) dan Wee Kiong memburu tempat dalam skuad negara pada kempen Piala Thomas di Denmark Oktober depan.
A
A
A

SKUAD negara tidak harus mengambil mudah kemampuan pasukan lawan pada pusingan akhir Piala Thomas di Aarhus, Denmark mulai 3 hingga 11 Oktober depan susulan penarikan diri Taiwan akibat peraturan kuarantin wajib selepas pulang daripada kejohanan itu.

Berikutan keputusan Taiwan itu, bekas pemain beregu negara, Goh V Shem berkata, pasukan lain pada saingan itu masih boleh menjadi ancaman kepada usaha Malaysia melangkah lebih jauh pada kejohanan berprestij dwitahunan itu.

“Taiwan adalah pasukan yang kuat dan walaupun mereka berundur, tidak bermakna kita tidak boleh mengambil mudah pasukan lain yang turut memburu kejayaan dalam kempen kali ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran edisi keenam kejohanan badminton Liga Remaja Purple hari ini.

Media antarabangsa hari ini melaporkan Taiwan yang diundi dalam Kumpulan B bersama China, Australia dan Perancis mengambil keputusan itu selepas kerajaan negara itu mengenakan peraturan menjalani kuarantin selama 14 hari selepas kembali daripada kejohanan tersebut.

Justeru, pemegang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berharap Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) pada Piala Thomas dan Piala Uber selepas banyak negara telah menyatakan kebimbangan mengenai pandemik Covid-19.

V Shem dan rakannya, Tan Wee Kiong kini memburu tempat dalam skuad negara dengan beregu utama negara, Aaron China-Soh Wooi Yik dijangka mengetuai cabaran Malaysia dalam kategori itu.

Pada edisi 2018 di Bangkok, Malaysia gagal menepati sasaran separuh akhir Piala Thomas selepas tewas 1-3 kepada Indonesia pada saingan suku akhir.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka menamakan skuad Piala Thomas dan Piala Uber selepas kem motivasi selama empat hari bermula di Pulau Tioman, Pahang hari ini.

Artikel Berkaitan:

BWF telah menetapkan 18 September ini sebagai tarikh akhir untuk pasukan menghantar senarai penuh pemain.

Dalam saingan Piala Thomas, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi dan juara 13 kali, Indonesia, Belanda dan England. Kumpulan B terdiri daripada China, Australia, Perancis, Kumpulan C - Denmark, India, Jerman, Algeria dan Kumpulan D disertai Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Kanada.

Piala Uber pula terdiri daripada Jepun, Mesir dan Sepanyol dalam Kumpulan A; Kumpulan B (Korea Selatan, Indonesia, Australia, MALAYSIA; Kumpulan C (Thailand, Denmark, Scotland, Kanada; Kumpulan D (China, India, Perancis, Jerman).

Mengikut format pertandingan, selepas satu pusingan, dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan mara ke saingan suku akhir. - Bernama