LKM luput kurang tiga tahun tidak perlu pemeriksaan Puspakom

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Kenderaan persendirian yang Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun boleh membuat pembaharuan cukai jalan tanpa perlu menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) berkuat kuasa esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan membuat keputusan itu selepas mengambil kira permintaan pemilik kenderaan yang mahu diberi kelonggaran memandangkan ada yang menghadapi kekangan kewangan untuk pemeriksaan kenderaan di Puspakom dalam situasi pandemik Covid-19.

Berdasarkan rekod, katanya, terdapat lebih 4.27 juta kenderaan yang dikesan telah tamat cukai jalan dalam tempoh satu hingga tiga tahun.

"Pemilik kenderaan yang cukai jalan atau LKM luput dalam tempoh kurang tiga tahun atau 36 bulan boleh terus buat pembaharuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani program kolaborasi strategik antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di sini hari ini.

Sebelum ini, kenderaan persendirian yang tamat LKM dalam tempoh setahun perlu menjalani pemeriksaan kenderaan di Puspakom sebelum dibenarkan memperbaharui cukai jalan dengan kos pemeriksaan ditanggung pemilik kenderaan.

Mengenai tawaran diskaun saman sebanyak 70 peratus sehingga 30 September ini, Ka Siong berkata, masih ramai rakyat Malaysia didapati suka membuat pembayaran di kaunter.

“Saya galakkan orang ramai bayar secara online kerana mereka juga dapat menikmati diskaun saman sebanyak 70 peratus jika bayar secara dalam talian,” katanya.

Mengenai program kolaborasi JPJ, UiTM, UKM dan JPK itu, beliau berkata, ia selaras dengan pendekatan dalam Pelan Strategik JPJ 2016-2020 bagi mendaya upaya sumber manusia JPJ ke arah melahirkan modal insan yang kompeten bagi mendepani landskap Revolusi Industri 4.0.

Artikel Berkaitan:

Di bawah Perjanjian Program Pengajian Diploma Eksekutif Pengurusan Pengangkutan dan Penguatkuasaan antara JPJ dan UiTM, seramai 30 pegawai pengangkutan jalan kumpulan pelaksana telah memulakan pengajian sejak September tahun lepas selama 15 bulan di Akademi JPJ Malaysia, Melaka dan dijangka tamat pengajian pada 23 Januari tahun hadapan.

Bagi Program Pengajian Sarjana Polisi Pengangkutan, Logistik dan Penguatkuasaan antara JPJ dan UKM pula, seramai 25 pegawai perkhidmatan awam akan dipilih untuk menjalani pengajian selama 18 bulan di Akademi JPJ Malaysia, Melaka, yang bermula pada Mac atau September tahun depan.

Di bawah Program Pembangunan Modal Insan bagi Bidang Pengangkutan Jalan antara JPJ dan JPK pula, ia bertujuan untuk pembangunan modal insan melalui pelaksanaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kepada sumber manusia dalam bidang pengangkutan jalan. - Bernama