Ada apa demonstrasi di Israel?

A
A
A

DALAM keadaan dunia tertumpu kepada politik Amerika Syarikat (AS) dan konflik terus berlaku di beberapa negara seperti Mali, Belarus, Libya, Lebanon, India dan China, tidak banyak yang tahu apa yang berlaku di Israel.

Minggu ini termasuk minggu ke-11 demonstrasi tercetus di Israel terutama di Jerusalem di hadapan rumah rasmi kediaman Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu. Bilangan penyertaan demonstrasi semakin membesar dan mencecah puluhan ribu.

Semua tahu Israel merupakan negara yang lahir daripada proses perompakan tanah sejak British melepaskan mandatnya ke atas Palestin. Pada tahun 1948, Israel diisytiharkan lahir tetapi rakyat Palestin menamakan peristiwa itu sebagai Nakbah (malapetaka).

Israel berdepan dengan krisis yang bergolak dari dalam. Pertembungan parti Likud yang diketuai Netanyahu dengan Parti Biru Putih dipimpin Benny Gantz terpaksa melalui tiga pilihan raya dalam setahun kerana masing-masing gagal mendapat majoriti yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan. Akhirnya koliasi rapuh antara kedua-duanya dimeterai. Jawatan Perdana Menteri digilirkan. Itulah janji dalam koliasi tersebut.

Keresahan rakyat ialah Israel kini dipimpin oleh Perdana Menteri yang korup, demokrasi yang semakin terhakis, kegagalan menguruskan pandemik koronavirus (Covid-19), ekonomi yang terjejas teruk dan pengangguran semakin meningkat.

Netanyahu sedang menjalani perbicaraan mahkamah atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa. Rakyat Israel bangkit membantah dan terus berdemonstrasi menuntut Netanyahu meletakkan jawatan. ‘Bibi’ (letak jawatan) adalah slogan rakyat Israel yang dilaungkan.

Israel di bawah Netanyahu sarat dengan langkah mengukuhkan cengkaman ke atas Palestin. Operasi militari Israel menyerang Gaza dan Tebing Barat lebih intensif. Walaupun wilayah Palestin hanya berbaki kurang 15 peratus, Netanyahu bercita-cita mahu menakluki seluruh Palestin. Setiap langkah ke arah itu mendapat sokongan penuh AS.

Fenomena kemarahan rakyat di Israel jarang berlaku. Namun, kali ini keadaannya berbeza. Warga Israel menzahirkan kemarahan pada tahap kritikal. Keyakinan terhadap kerajaan Likud semakin pudar.

Artikel Berkaitan:

Punca

Penduduk Israel kecewa kerana kerajaan tidak menyediakan pelan melindungi rakyat daripada Covid-19 dan tiada pelan untuk memulih kejatuhan ekonomi. Kerajaan mengubah peraturan hampir setiap minggu. Peniaga kecil tidak dapat beroperasi berbulan-bulan lamanya dan kerajaan tidak membantu mereka yang hilang pekerjaan dan mereka yang bekerja sendiri.

Angka pengangguran kini mencecah 25 peratus. Netanyahu melantik rakan politiknya yang tidak mampu mengendalikan krisis Covid-19 dan tidak berupaya memulih krisis ekonomi yang sedang melanda.

Rakyat semakin kecewa dan akhirnya mereka melampiaskan kemarahan dalam demonstrasi. Malah, petugas hospital melancarkan piket kerana kerajaan tidak bertindak untuk menampung kekurangan peralatan perawatan yang menyebabkan kes Covid-19 di luar keupayaan untuk ditampung hospital sedia ada.

Netanyahu dilihat sibuk mempertahankan kedudukan politiknya lebih daripada menangani Covid-19. Seperti Presiden AS, Donald Trump, Netanyahu mengambil strategi politik untuk menuduh peserta demonstrasi sebagai golongan kiri yang mahu menghancurkan Israel.

Di tengah-tengah itu, anggota Kensset kini bertempur antara satu sama lain kerana kemungkinan akan ada pilihan raya yang keempat.

Walau siapa pun yang menerajui kepimpinan Israel, dasarnya untuk menjajah Palestin akan berterusan. Israel berada di bawah fahaman zionism sejak ia dilahirkan. Warga Israel dan kerajaan yang memerintah Israel tidak mungkin melepaskan wilayah Palestin.

Demonstrasi rakyat yang tercetus tidak membawa perubahan ke atas nasib Palestin yang telah ditindas sejak peristiwa Nakbah 1948.

Perjuangan membebaskan Palestin yang telah dikhianati Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara Arab yang lain tidak boleh malap, sebaliknya perlu disokong sehingga matlamat mengembalikan hak warga Palestin dicapai.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu