Kilang kayu diserbu kali kedua curi air

Sebuah kilang kayu diserbu kali kedua curi air.
Sebuah kilang kayu diserbu kali kedua curi air.
A
A
A

JEMPOL - Biarpun pernah diserbu sebelum ini, sebuah kilang kayu mengulangi kesalahan mencuri air sehingga menyebabkan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) mengalami kerugian berjumlah RM38,292.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, premis tersebut diserbu kali pertama oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Sains pada 18 Jun lalu atas kesalahan melakukan penyambungan paip air secara haram.

"Siasatan masih diteruskan oleh pihak SPAN di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Semakan Sains pula mendapati akaun premis dipotong sejak 3 Januari tahun lalu dan mempunyai tunggakan sebanyak RM5,742.94," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, serbuan kedua dilakukan pada hari ini mendapati pemilik premis melakukan penyambungan tidak sah tanpa melalui sebarang meter air menggunakan paip High Density Polyethylene (HDPE) bersaiz 25 millimeter (mm).

Sebuah kilang kayu diserbu curi air.
Sebuah kilang kayu diserbu curi air.

"Air ini adalah kegunaan harian pekerja, mencuci tayar kenderaan, kegunaan di pejabat serta di kawasan kilang, manakala bekalan air yang diperoleh daripada sambungan tidak sah ini digunakan untuk 18 tempat.

"Pegawai penguat kuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di lokasi berkenaan dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains. SPAN telah menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti dan kes disiasat di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006," katanya.

Sementara itu, katanya Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan tanpa mengira kes yang melibatkan pengguna komersil mahupun domestik.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, SPAN dan Sains melakukan serbuan kes curi air di premis berkenaan bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 1 tengah hari.

Operasi serbuan diketuai oleh pegawai SPAN, Mohd Shariff Abdul Rahman dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN (BSP SPAN) dan Unit Penguatkuasaan Sains.