Perompak bersenjatakan pistol larikan RM20,000 dari bank

Polis melakukan siasatan di lokasi kejadian di sebuah bank di Jalan SS15/4G, Subang Jaya petang tadi.
Polis melakukan siasatan di lokasi kejadian di sebuah bank di Jalan SS15/4G, Subang Jaya petang tadi.
A
A
A

SUBANG JAYA - Sebuah bank di Jalan SS15/4G di sini kerugian wang tunai RM20,000 akibat dirompak seorang penjenayah bersenjatakan pistol petang tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, dalam kejadian pada jam 4.23 petang itu, suspek yang memakai pelitup muka masuk ke dalam bank terbabit dengan memegang sepucuk pistol automatik.

"Penjenayah itu kemudian telah bertindak menolak pengawal bank sebelum melepaskan satu das tembakan ke arah siling.

"Suspek telah meluru ke arah kaunter bank dan mengarahkan pekerja bank tersebut menyerahkan wang berjumlah RM20,000 lalu melarikan diri," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Risikin berkata, usaha memburu suspek masih giat dijalankan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubung Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Deputi Superintendan Yeoh Chun Shyan di talian 03-78627222.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1972 dan Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: