Menara, pemancar komunikasi negara selamat

Eddin Syazlee Shith
Eddin Syazlee Shith
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pembinaan semua menara dan struktur pemancar komunikasi di negara ini selamat serta bebas radiasi kerana telah mengikut amalan keselamatan antarabangsa dan piawaian yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Eddin Syazlee Shith berkata kerajaan telah memastikan setiap kelengkapan komunikasi mematuhi standard Kadar Penyerapan Spesifik (SAR) dan Medan Frekuensi Elektromagnetik (EMF) yang berkuat kuasa sejak November 2011.

Sehingga kini 20,023 struktur komunikasi beroperasi di seluruh negara.

"SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) turut menjalankan kerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia untuk ujian pematuhan tahap radiasi daripada pancaran frekuensi radio (RF) daripada alat komunikasi itu.

"Beberapa ujian radiasi telah dibuat bagi mendapat maklumat yang tepat berkenaan kebimbangan rakyat mengenai masalah berkaitan radiasi dan untuk membetulkan salah tanggapan masyarakat mengenai hal itu," katanya pada sesi soal di Dewan Rakyat hari ini.

Artikel Berkaitan:


Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai risiko serta tanggapan pengguna mengenai kemudaratan kesihatan akibat pemasangan struktur komunikasi berkenaan.

Eddin Syazlee berkata melalui kerjasama Kementerian Kesihatan, kempen keselamatan kepada rakyat dan orang awam turut dibuat termasuk dengan mengedarkan risalah berhubung perkara berkaitan masalah radiasi.

"Sekiranya ada kebimbangan berterusan mengenai perkara ini, SKMM akan mengadakan ‘engagement’ secara terus dengan pengadu untuk menyelesaikan isu ini dengan segera," tambahnya. - Bernama