4 LRA Sungai Selangor masih belum beroperasi

Baki kesan pencemaran masih lagi berada di dalam sungai.

Kenyataan media berhubung LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang masih belum beroperasi.
Kenyataan media berhubung LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang masih belum beroperasi.
A
A
A

SHAH ALAM - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum boleh beroperasi berikutan pencemaran masih dikesan di muka sauk pada tahap tiga ton setakat jam 6.30 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, kenyataan media Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan, insiden pencemaran itu disyaki berpunca dari premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melakukan pelepasan berbau seakan pelarut ke dalam sungai.

Menurutnya, meskipun penutupan premis dilaksanakan pihak berkuasa tempatan pada jam 2.30 petang tadi, namun baki kesan pencemaran itu masih lagi berada di dalam sungai.

"Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,700 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 1,292 kawasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, keadaan itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya kerana keempat-empat loji telah di henti tugas melebihi 10 jam.

"Air Selangor menyarankan kepada pengguna untuk mengambil bekalan air bersih di bilik awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air adalah diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

"Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di pusat khidmat setempat yang telah disediakan," katanya.

Elina memaklumkan, Air Selangor akan mengagihkan 23, 000 botol air minum berkapasiti lima liter untuk diagihkan dan keutamaan diberikan kepada rumah unit bertingkat seperti flat, pangsapuri dan kondominium.

Artikel Berkaitan:

"Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari masa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor.

"Orang ramai juga boleh merujuk aplikasi telefon bimbit ‘Air Selangor’ atau laman sesawang: www.airselangor.com bagi mengetahui perkembangan berkaitan insiden itu.