Syaidatul Afifah umum bersara selepas 11 tahun wakili negara

Syaidatul Afifah bercakap pada sidang media ketika mengumumkan persaraannya di Kuala Lumpur hari ini.
Syaidatul Afifah bercakap pada sidang media ketika mengumumkan persaraannya di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

TIADA penyesalan buat puteri tenpin boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, yang memuktamadkan keputusannya meninggalkan skuad kebangsaan selepas 11 tahun mengharumkan negara dalam sukan itu.

Bekas juara acara berpasukan wanita Kejohanan Dunia 2017 secara rasmi hari ini mengumumkan persaraannya pada satu sidang media di sebuah stesen televisyen berbayar, di sini.

Pemain boling berusia 29 tahun itu menghantar surat menarik diri daripada skuad kebangsaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Tenpin Boling Malaysia (MTBC) pada Selasa (1 Sept).

Katanya, keputusan berkenaan diambil kerana beliau mahu memberi fokus kepada kerjaya yang lebih menjamin masa depan.

"Keputusan ini adalah untuk menentukan hala tuju hidup saya. Saya tidak cakap sukan boling tidak ada masa depan kerana melalui sukan boling orang kenal saya, tapi cukuplah untuk setakat 11 tahun.

"Sudah tiba masa saya memikirkan mengenai karier yang lebih stabil. Di luar sana merupakan tempat yang lebih menjamin masa depan. Saya berani untuk cuba banyak bidang," katanya

Syadiatul Afifah yang sebak ketika sidang media berkenaan menjelaskan bahawa hasrat untuk bersara timbul sejak tahun lepas lagi, namun ia dimuktamadkan selepas perbincangan bersama keluarga baru-baru ini.

Beliau juga mengakui tidak menyesal mengambil keputusan berkenaan kerana impiannya untuk mengharumkan nama negara sudah tercapai.

Artikel Berkaitan:

Malah, Syaidatul Afifah turut menafikan bahawa penarikan dirinya itu ada kaitan dengan masalah dalaman pasukan dan MTBC.

Antara pencapaian terbaik Syaidatul Afifah ialah memenangi pingat emas berpasangan wanita Kejohanan Asia 2015 di Bangkok; pingat emas berpasukan wanita Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas; dan pingat emas trio berpasukan wanita Sukan Asia 2018 di Palembang.

Dalam pada itu, Syaidatul Afifah berkata, beliau sedia mencurah ilmu dan pengalamannya demi pembangunan akar umbi.

"Boling sebahagian daripada hidup saya, jadi saya tidak bersara 100 peratus. Saya akan tetap bermain boling sebagai pemain profesional jika ada kejohanan terbuka. Mungkin selepas ini saya akan menjadi jurulatih di peringkat akar umbi," katanya. - Bernama