X

Kindly register in order to view this article
!

'Jangan polemikkan isu rundingan terus'

Nor Hizwan pada sidang akhbar di Ampang Jaya hari ini menunjukkan garis panduan permohonan perolehan rundingan terus.
A
A

AMPANG - "Hentikan permainan politik terhadap isu ini," tegas Nor Hizwan Ahmad yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Nor Hizwan berkata demikian merujuk kepada isu rundingan terus Projek Sisa Pepejal Taman Beringin di sini melibatkan menteri terbabit.

Menurutnya, dalam isu berkenaan, Zuraida tidak terlibat secara langsung.

"Apa yang kita dapat dilihat melalui dokumen yang dikemukakan adalah melibatkan urusan secara terus Menteri Kewangan ketika itu (Lim Guan Eng) dengan syarikat yang terlibat.

"Apa yang saya dapat pastikan, tidak ada setitik dakwat yang ditandatangani Zuraida melibatkan urusan ini. Jadi saya nak tanya kepada Guan Eng yang kononnya nak membongkarkan perkara ini, beliau tahu atau tidak akan perkara ini atau beliau lupa," katanya pada sidang akhbar di Common Ground, Ampang Jaya di sini hari ini.

Nor Hizwan berkata, beberapa fakta turut didedahkan, sekali gus menunjukkan Zuraida tidak terlibat dalam hal berkenaan.

"Dalam fakta pertama, pada 16 Mac 2017, syarikat terlibat memulakan cadangan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan (KPKT) dalam surat bertarikh 16 Mac 2017. Pada 3 November 2017, memorandum Jemaah Menteri bagi hal ini dibentang di Kabinet dan pada 27 November 2017, KPKT menghantar surat kepada Kementerian Kewangan bagi memaklumkan kelulusan memorandum Jemaah Menteri bagi pertimbangan dan pelaksanaan projek," katanya.

Menurutnya, pada 27 November 2017, surat niat dikeluarkan kepada Bumi Segar Indah dan pada 3 Mei 2018, Lembaga Perolehan A KPKT memuktamadkan harga rundingan projek dan seterusnya beberapa proses teknikal, penilaian dan pembentangan dijalankan sehingga kerajaan bertukar daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

"Untuk fakta kedua pada 21 Ogos 2018, Kementerian Kewangan arahkan KPKT kemuka permohonan baharu dan pada 30 Ogos 2018, Ketua Setiausaha KPKT menulis kepada Pejabat Belanjawan Negara (di bawah Kementerian Kewangan) bagi memuktamadkan projek ini.

"Pada 29 November 2019, syarikat terlibat menulis kepada Ketua Setiausaha KPKT memaklumkan bahawa syarikat terbabit mengaku telah berbincang dengan Guan Eng pada 26 November 2019," katanya.

Beliau berkata, dalam soal berkenaan, Menteri Kewangan menasihatkan agar kadar 'tipping fee' dikurangkan dan syarikat terbabit bersetuju.

Beliau berkata, jelas sekali dalam soal ini, Guan Eng sengaja mahu mencipta polemik politik.

"Bagi saya ini adalah satu permainan politik yang cuba dimainkan Guan Eng,

Sabtu lepas, Guan Eng mencabar Zuraida agar mendedahkan surat berkaitan satu daripada dua projek KPKT yang diluluskan secara rundingan terus ketika pemerintahan PH.

Guan Eng mendakwa, Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (PSPTB) bernilai RM170.3 juta itu dimohon sendiri oleh KPKT kepada Kementerian Kewangan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!