X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk Ambangan Heights tidak dibenar keluar zon mulai malam ini

Adzli memantau penjualan barangan keperluan harian yang dibuka di kawasan PKPD Pentadbiran di Ambangan Heights, Sungai Petani hari ini.
A
A

SUNGAI PETANI - Penduduk termasuk ketua keluarga dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Ambangan Heights tidak dibenarkan keluar dari kawasan terbabit berkuatkuasa 8 malam ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketetapan itu dibuat berdasarkan hasil mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana pada jam 10 pagi tadi.

Beliau berkata, arahan berkenaan termasuk kepada pemakai gelang putih yang diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu ketua keluarga di mana tiada lagi kelonggaran untuk bergerak antara zon seperti Zon Kenanga ke Zon Mawar dan lain-lain untuk mendapatkan barangan keperluan.

"Beberapa tindakan akan diambil bagi membantu penduduk antaranya menyediakan mesin ATM bergerak selain kemudahan 'food truck' yang menjual barangan segar.

"Pembekal petrol juga akan disediakan serta pasar segar terkawal yang akan dianjurkan ke semua zon mengikut jadual," katanya di sini hari ini.

Adzli berkata, beliau sudah mengarahkan penduduk yang pulang dari luar kawasan dan ingin memasuki kawasan PKPD Pentadbiran agar membuat saringan dan dipakaikan gelang.

"Hanya yang dibenarkan KKM melalui surat akuan akan diberi kebenaran memasuki kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, arahan berkuatkuasa sehingga tamat perisytiharan PKPD Pentadbiran.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan agar tiga zon membabitkan Zon Mawar, Melor dan Kenanga, Ambangan Heights diperintahkan PKPD Pentadbiran bermula 28 Ogos lalu.

Kesemua penduduk di tiga zon terbabit diperintahkan menjalani saringan dengan dipakaikan gelang merah jambu bagi isi rumah dan gelang putih bagi ketua keluarga.

Sejak PKPD Pentadbiran dikuatkuasakan, pemakai gelang putih dibenarkan keluar sekali sehari dalam tempoh hanya sejam bagi melaksanakan urusan penting termasuk mendapatkan keperluan harian di kedai berhampiran.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!