X

Kindly register in order to view this article
!

Ekuinas agih keuntungan RM120 juta untuk manfaat bumiputera

Muhyiddin (tengah) menyaksikan penyampaian replika pengagihan keuntungan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) menerusi PNB yang diwakili oleh Raja Arshad (kiri) dan Zeti (kanan) di Menara PNB hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyaksikan majlis penyerahan RM120 juta daripada keuntungan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) kepada Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) untuk manfaat pemegang unit bumiputera dalam dana amanah yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) di sini.

Ekuinas diwakili Pengerusinya, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda manakala PNB oleh Pengerusi kumpulannya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Ekuinas yang merupakan syarikat pengurusan dana ekuiti persendirian berkaitan kerajaan dalam kenyataan berkata, pengagihan RM120 juta adalah sebahagian daripada keuntungan bersih Ekuinas setelah penutupan Ekuinas Direct (Tranche I) Fund (juga dikenali sebagai Dana I).

“Ini membawa jumlah pengagihan yang telah diagihkan kepada PNB sebanyak RM320 juta, berikutan RM200 juta yang diagihkan pada tahun 2014”, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, PNB telah dikenal pasti sebagai institusi yang sesuai untuk disalurkan pengagihan kerana mempunyai platform terbaik memandangkan rangkaian pemegang unit amanah Bumiputeranya luas, selari dengan objektif Ekuinas untuk meningkatkan kekayaan Bumiputera secara berkesan.

“Prestasi Ekuinas sehingga ke hari ini telah membuktikan model ekuiti persendirian memainkan peranan positif dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

"Ini dapat dilihat melalui pencapaian kami yang berjaya menjana pulangan daripada pelaburan kami dan seterusnya mengagihkan keuntungan dengan masyarakat Bumiputera secara lebih meluas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Ekuinas telah membangunkan satu kerangka kerja untuk pengagihan yang menetapkan jumlah prinsipal yang diperoleh daripada pelaburannya akan dilaburkan semula untuk pelaburan masa depan.

Keuntungan yang dijana akan dibahagikan secara adil antara memperluas aktiviti pelaburan selanjutnya dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah ILTIZAM, dan lebihannya akan diperuntukkan untuk pengagihan kepada masyarakat bumiputera.

Syed Yasir Arafat berkata, sejak 2016, ILTIZAM telah membantu dalam meringankan beban masyarakat bumiputera yang terpinggir menerusi tiga teras iaitu keusahawanan, pendidikan dan komuniti.

“Usaha ini termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada siswazah menganggur dan membantu usahawan mikro dan kecil, serta menyumbang keperluan harian kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pihaknya berbesar hati dapat memainkan peranan dalam pengagihan keuntungan itu untuk manfaat masyarakat bumiputera, seiring dengan misi PNB sendiri iaitu untuk menjana dan meningkatkan kekayaan dan ekonomi masyarakat bumiputera.

Ekuinas ditubuhkan pada 2009 untuk menyediakan pembiayaan ekuiti persendirian kepada syarikat dan usahawan berpotensi tinggi di Malaysia di samping meningkatkan kekayaan dan penyertaan Bumiputera secara mampan.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!