Kemenangan BN jadi peristiwa manis, sangat penting: Khaled

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kemenangan BN dalam PRK Parlimen Cameron Highlands merupakan peristiwa manis untuk dikenang dan sangat penting kepada Malaysia.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemenangan itu adalah permulaan penolakan yang jelas terhadap PH.

Menurutnya, rakyat Malaysia kini mula menunjukkan rasa dan pendirian tegas terhadap prestasi PH.

“Di sebalik kehadiran pemimpin besar Pakatan Harapan termasuk Perdana Menteri, masyarakat Cameron Highlands telah menghantar mesej yang sangat jelas kepada parti kerajaan.

“Iaitu masyarakat tidak akan sesekali membiarkan mereka diperdayakan dengan janji yang akhirnya dimungkiri sesuka hati,” katanya di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kemenangan di Cameron Highlands menunjukkan bahawa orang Melayu dan Bumiputera sangat sangsi dengan PH.

“Mereka yakin bahawa hanya Umno dan Pas adalah sandaran terbaik dalam memperjuang kelangsungan serta kepentingan Melayu dan Bumiputera di negara tanpa menafikan kaum-kaum lain,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan itu juga menjadi petunjuk jelas bahawa isu dan kepentingan orang Asli bukan perkara yang boleh diambil mudah.

Artikel Berkaitan:

“Orang Asli bukan golongan yang boleh diperkotak-katikkan dengan imbuhan dan ganjaran bermusim.

“Apatah lagi dihina secara terbuka sebagai komuniti separa warga negara. Penghinaan seperti itu bukan sahaja keterlaluan, tidak sensitif dan menggambarkan kejahilan tentang perkara asas negara kita,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, calon yang berwibawa sangat penting dan PRK kali ini, BN telah membuat satu pendekatan tepat dengan mengangkat pencalonan Ramli Mohd Nor.

“Keputusan ini bukan sahaja tindakan yang progresif tetapi memenuhi aspirasi BN yang mahukan keterangkuman menjadi amalan yang lebih nyata dan terlihat.

“Calon seperti Ramli dilihat sebagai tokoh yang sederhana, teruji dalam khidmatnya pada negara dan disegani kerana pencapaian pendidikan dan kerjayanya,” katanya.

Malah katanya, Cameron Highland adalah langkah pertama BN untuk kembali berkuasa sekali gus membuktikan Umno-BN tidak mati, punah dan hancur seperti dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kemenangan itu juga adalah petanda bahawa BN telah mula berjaya mengurus kekalahannya sebelum ini.

“Tetapi yang lebih manis dan bermakna ialah sokongan padu Pas kepada BN. Pas telah menjadi rakan strategik Umno yang penting.

“Kesepakatan Umno dan Pas, jika terus disubur dan digembelengkan dengan rapi, akan mewujudkan gelombang kebangkitan Melayu Islam yang besar, penting dan mampu melenyapkan PH,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kerjasama Umno dan Pas dalam PRU-15 nanti akan menghasilkan gerak gempa dan tsunami Melayu yang berkali-kali ganda lebih hebat dari ‘the Chinese tsunami’ dalam PRU14.

Selain itu, katanya, kemenangan BN adalah kerana kerja keras semua pihak termasuklah Menteri Besar Pahang, kepimpinan tertinggi Umno dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Dan parti-parti komponen BN pula sangat membantu. Khususnya MIC yang bukan sahaja memberi laluan, tetapi mempamerkan persefahaman yang padu. Mereka tidak memberontak, tidak sabotaj. Tetapi terus setia dan bersama-sama dengan BN. Saya sangat berterima kasih kepada MIC.

“Kepada PH, Cameron Highlands adalah petanda awal bahawa kalian akan kami perangi habis-habisan. BN akan terus berjuang dan tidak sesekali mengalah,” katanya.