Suri rumah terbunuh kereta rempuh gerai jual daging

Mangsa sedang membeli daging di sebuah gerai di tepi jalan sebelum dirempuh oleh sebuah kereta jenis Perodua Alza yang datang secara mengejut.
Mangsa sedang membeli daging di sebuah gerai di tepi jalan sebelum dirempuh oleh sebuah kereta jenis Perodua Alza yang datang secara mengejut.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang suri rumah terbunuh dalam kejadian sebuah kereta dipercayai dipandu lelaki 'lalok' akibat dadah merempuh sebuah gerai menjual daging di tepi Jalan Pasir Mas-Meranti berhampiran Kampung Pohon Buloh di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu Noriha Zakaria, 28, sedang membeli daging di gerai yang terletak di tepi jalan berkenaan sebelum dirempuh oleh sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipandu suspek berusia 29 tahun itu.

Mangsa difahamkan meninggal dunia di hospital.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Machang Gochoh meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian perut.

"Siasatan awal mendapati, sejurus tiba di lokasi kejadian kereta yang dipandu oleh lelaki berusia 29 tahun itu hilang kawalan dan kemudian merempuh kedai daging, seterusnya melanggar mangsa.

"Keputusan air kencing mendapati suspek positif methapetamine dan mengalami kecederaan di lengan dan kaki," katanya.

Tambah beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: