198 individu ditahan ingkar PKPP

Ismail Sabri pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kempen Pembudayaan Normal Baharu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Ismail Sabri pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kempen Pembudayaan Normal Baharu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 198 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, PDRM yang mengetuai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PKPP, mengeluarkan kompaun terhadap 184 individu manakala sembilan direman dan lima lagi dijamin.

Jelasnya, kesalahan tertinggi dilaporkan adalah aktiviti di dalam kelab malam melibatkan seramai 109 individu dan aktiviti melibatkan kehadiran ramai orang yang menyukarkan penjarakan fizikal, 41 orang.

"Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk melibatkan 25 individu, tidak memakai pelitup muka (17), gagal mematuhi arahan kuarantin (seorang).

"Dua disyaki menjalankan aktiviti pelacuran, manakala tiga lagi kesalahan adalah premis beroperasi tanpa lesen," katanya dalam kenyataan berhubung PKPP hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata, PDRM mengadakan 63 sekatan jalan raya bagi operasi berkenaan di seluruh negara serta memeriksa 23,368 kenderaan dan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas kesalahan imigresen.

Sejak 1 Mei sehingga semalam, seramai 4,889 PATI, 713 tekong serta 246 penyeludup ditahan. Selain itu, 446 bot dan 481 kenderaan yang terlibat dalam percubaan mencerobohi sempadan negara turut ditahan.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai lalu, seramai 22,057 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa negara dan ditempatkan di 71 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA).

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 9,481 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 12,510 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang. - Bernama