X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Pakej istimewa cuti-cuti Malaysia bagi penjawat awam

Nancy bersama Mohd Zamri (dua dari kiri), Musa (kiri), Adnan (dua dari kanan) dan Alwi Shakir (kanan) menunjukkan plakad Pakej Istimewa Cuti-Cuti Malaysia Bagi Penjawat Awam pada majlis pelancaran di MaTiC, hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A

KUALA LUMPUR - Tourism Malaysia hari ini melancarkan pakej istimewa sempena kempen Cuti-cuti Malaysia khas untuk penjawat awam sebagai penghargaan kepada mereka yang mencurah khidmat bakti khususnya ketika negara dibelenggu pandemik Covid-19.

Program dengan kerjasama Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu adalah inisiatif jangka masa pendek untuk meningkatkan usaha promosi pelancongan domestik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebagai permulaan, pakej itu akan mempromosikan produk-produk dan destinasi pelancongan di sekitar Lembah Klang.

"Saya berharap pakej ini akan diperluaskan ke daerah-daerah serta negeri-negeri yang lain pada masa akan datang untuk memberi peluang melihat keindahan tempat menarik dalam negara," katanya ketika berucap merasmikan program itu di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) kementerian itu, Mohd Zamri Mat Zain; Presiden Cuepacs, Adnan Mat dan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Alwi Shakir Abdullah.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu adalah hasil daripada kajian keinginan melancong dalam kalangan masyarakat tempatan oleh Tourism Malaysia baru-baru ini yang mendapati 71.3 peratus responden menyatakan minat untuk melancong dalam negara.

Nancy berkata, daripada 13,797 jumlah responden yang ditinjau, 31.4 peratus adalah penjawat awam.

"Berdasarkan hasil kajian ini saya percaya di samping menikmati keindahan semula jadi, penjawat awam juga mampu menyumbang ke arah membangunkan sektor pelancongan negara," katanya.

Sementara itu, bercakap pada sidang media, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, pihaknya menganggarkan sebanyak RM3 bilion pendapatan boleh dijana menerusi program itu dalam tempoh setahun.

Beliau berkata, rata-rata pelancong domestik membelanjakan wang mereka untuk membeli-belah dan perbelanjaan minyak yang akan meningkatkan ekonomi negara.

"Kalau sekarang kita ada 1.2 juta penjawat awam yang masih bekerja, kita ada juga penjawat awam yang sudah bersara. Mereka juga ada pencen yang mana digunakan untuk melancong sekali gus menyumbang kepada pelancongan domestik," katanya.

Antara pakej istimewa yang ditawarkan adalah percutian dua hari satu malam dan juga tiga hari dua malam yang melibatkan hotel ternama di sekitar Lembah Klang dengan tawaran harga sekitar RM120 seorang dan bagi produk pelancongan lain, pengunjung harian akan mendapat tawaran diskaun sehingga 30 peratus untuk pembelian tiket.

Mereka yang menempah pakej ini juga berpeluang untuk mendapatkan tiket lawatan sekitar Kuala Lumpur dengan menaiki bas Hop On Hop Off secara percuma tetapi terhad kepada 5,000 tiket sahaja.

Penjawat awam digalak mengambil peluang ini kerana terdapat pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik sehingga 31 Disember 2021 susulan pengumuman pakej rangsangan Penjana.

Mereka boleh mendapatkan pakej ini menggunakan pas pekerja penjawat awam di agensi pelancongan terpilih dan pakej ini boleh dilayari di lawan sesawang Tourism Malaysia www.malaysia.travel.

Tempoh tempahan pakej sehingga 30 September 2020 manakala tempoh sah lawatan ialah sehingga 31 Disember 2020.- Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!