APMM rampas 537kg ganja terapung di laut

Zawawi (kiri) menunjukkan ketulan ganja yang berjaya dirampas APMM Kedah Perlis di Pulau Chorong, Langkawi 31 Ogos lalu.
Zawawi (kiri) menunjukkan ketulan ganja yang berjaya dirampas APMM Kedah Perlis di Pulau Chorong, Langkawi 31 Ogos lalu.
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis merampas sebanyak 537 kilogram (kg) ketulan ganja mampat bernilai lebih kurang RM1.6 juta yang terapung di perairan pada kedudukan 6.7 batu nautika tenggara Pulau Chorong, dekat sini, 31 Ogos lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bungkusan dadah yang cuba diseludup masuk dipercayai dari negara jiran itu telah berjaya dirampas oleh pasukan APMM dengan kerjasama nelayan tempatan selepas agensi berkenaan membuat intipan selama beberapa minggu susulan ‘Op Eagle Eye’.

“Selepas menerima maklumat mengenai lokasi penemuan bungkusan yang disyaki dadah, sebuah Bot Petir APMM ke lokasi tersebut dan menemui bungkusan ketulan ganja mampat yang terapung, lebih kurang jam 9.30 pagi.

"Ketulan ganja mampat dianggarkan seberat sekilogram setiap satu itu ditemui terapung di dalam 14 bungkusan besar yang terdiri daripada 12 bungkusan plastik hitam dan dua bungkusan plastik putih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu tambahnya, Op Eagle Eye itu dilancarkan susulan mendapat maklumat mengenai penyeludupan dadah menerusi perairan berkenaan.

Zawawi (tiga kanan) menunjukkan ketulan ganja yang berjaya dirampas APMM Kedah Perlis di Pulau Chorong, Langkawi 31 Ogos lalu. - Foto Ihsan APMM Kedah Perlis
Zawawi (tiga kanan) menunjukkan ketulan ganja yang berjaya dirampas APMM Kedah Perlis di Pulau Chorong, Langkawi 31 Ogos lalu. - Foto Ihsan APMM Kedah Perlis

"Dipercayai kaedah yang digunakan ini merupakan salah satu taktik penyeludup memandangkan dalam beberapa siri tangkapan membabitkan rampasan ganja, syabu dan ketum di perairan Kedah serta Perlis sebelum ini juga menggunakan taktik serupa," katanya lagi.

Mohd Zawawi menambah, modus operandi sama digunakan namun dapat dikesan pada 15 Julai lalu sehingga membawa kepada rampasan sebanyak 5kg syabu bernilai RM769,000 di perairan Langkawi.

Artikel Berkaitan:

"Pada 27 Julai, kami berjaya menangkap lima warga Indonesia dan merampas ganja seberat 230kg bernilai RM700,000 di kedudukan 40 batu nautika Pulau Rebak Besar Langkawi.

"Jumlah keseluruhan dadah dirampas sepanjang tahun ini ialah 5kg syabu dan 767kg ganja dengan nilai keseluruhan RM3.1 juta. Kes tangkapan ganja pada kali ini merupakan rampasan dadah terbesar bagi APMM Negeri Kedah dan Perlis (MNKP) pada tahun ini," kata beliau lagi.

Tambahnya, semua ganja yang ditemui itu dibawa ke Jeti MNKP di Bukit Malut dan diserahkan kepada pegawai penyiasat MNKP untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.