Guan Eng ucap tahniah kepada Najib

Guan Eng bergambar menyampaikan bantuan untuk pelajar miskin bagi kawasan Parlimen Bagan di sini pagi tadi.
Guan Eng bergambar menyampaikan bantuan untuk pelajar miskin bagi kawasan Parlimen Bagan di sini pagi tadi.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah berjaya memimpin BN dan Pas dalam mencapai kemenangan dalam PRK Cameron Highland semalam.

Guan Eng berkata, walaupun kepimpinan dalam BN telah bertukar namun Najib masih lagi dilihat seperti pemimpin utama bagi pihak pembangkang dalam menjayakan kempen PRK sebelum ini.

Menurutnya, Umno dan Pas juga telah berjaya menarik MIC dan MCA untuk menyokong calon BN sekaligus memberi kemenangan kepada mereka.

"Tahniah juga diucapkan kepada Yang Berhormat Ramli Mohd Noor yang menjadi ahli parlimen Orang Asli pertama dalam sejarah negara.

"Walaupun tewas pada PRK Cameron Highlands, PH tetap berbangga apabila berjaya menambah undi sehingga tiga peratus," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan bantuan untuk pelajar miskin bagi kawasan Parlimen Bagan di sini pagi tadi.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, PH juga berjaya menurunkan jumlah undi BN dan Pas daripada 4,184 pada PRU-14 kepada 3,238 undi kali ini.

"Sungguhpun mereka telah menang namun kita berjaya mengurangkan manoriti mereka.

“Ini beri kita kekuatan untuk lawan lagi dan memperbaiki diri serta jentera untuk PRK seterusnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalan, calon BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas diumum menang dengan menewaskan tiga pencabar lain.

Beliau memperoleh 3,238 undi majoriti atau 12,078 undi keseluruhan daripada 89 saluran undi sehingga penjumlahan tamat jam 8.30 malam.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata, di Cameron Highlands.

Berdasarkan keputusan rasmi itu, Ramli menewaskan tiga lagi pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran serta dua calon bebas, bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee yang juga petani tempatan.