UUM tersenarai 600 universiti terbaik dunia

Universiti Utara Malaysia
Universiti Utara Malaysia
A
A
A

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) melonjak kedudukan pencapaian tahun ini apabila berada di kelompok 601-800 dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2021 berbanding kedudukan 801-1,000 pada tahun sebelumnya.

Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, kedudukan itu meletakkan UUM sebagai universiti ketiga terbaik dalam negara dengan lonjakan enam anak tangga dari kedudukan kesembilan.

Beliau berkata, kedudukan itu meletakkan UUM sebaris dengan kedudukan Universiti Penyelidikan lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Penilaian THE World University Rankings ini mengambil kira lima indikator utama iaitu pengajaran (30 peratus), kajian (30 peratus), sitasi (30 peratus), prospek antarabangsa (7.5 peratus) dan pendapatan industri (2.5 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Bashawir berkata, keputusan diumumkan semalam membabitkan lebih 1,500 universiti dari 93 negara seluruh dunia yang tersenarai dalam THE World University Rankings 2021.

Ahmad Bashawir Abdul Ghani
Ahmad Bashawir Abdul Ghani

“Kita bersyukur berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga universiti terbaik di Malaysia. Penilaian kali ini menunjukkan indikator sitasi meningkat apabila memperoleh skor 34.8 peratus berbanding 9.3 peratus tahun sebelumnya, manakala prospek antarabangsa terus kekal sebagai tunjang terbaik UUM," katanya.

Menurutnya, segala perancangan 2019 termasuk pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk melonjakkan UUM telah membuahkan hasil.

Artikel Berkaitan:

"Antara inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan berterusan adalah menjenamakan semula UUM melalui tagline 'We Are Global', usaha pengantarabangsaan serta kerjasama strategik dengan universiti tersohor dunia seperti National University of Singapore (NUS), University of Hull, Qatar University dan sebagainya," katanya.

Ahmad Bashawir berkata, inisiatif jangka pendek dan jangka panjang turut dirangka; antaranya meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama dengan pihak industri dalam dan luar negara serta peningkatan dalam kebolehpasaran graduan yang mampu melonjakkan reputasi UUM.

Menurutnya, tahun 2020 merupakan tahun terakhir Pelan Strategik UUM Fasa II dan universiti berkenaan akan memulakan Pelan Strategik Fasa III bermula 1 Januari 2021.

"Walaupun UUM terletak jauh di utara tanah air, dengan adanya perancangan tersusun, strategi berstruktur dan hala tuju jelas, UUM mampu buktikan faktor lokasi bukan halangan. UUM mampu memintas pencapaian dalam THE WUR 2021 oleh universiti lebih senior dan lokalitinya di Lembah Klang," katanya.