Ayah maut kemalangan ketika nak beli ais krim adik

A
A

SUNGAI PETANI - "Baru ja ayah keluar nak beli aiskrim untuk adik, lepas tu ada orang habaq depa kemalangan".

Demikian luahan anak sulung mangsa, Salsabila Roslan, 15, tentang kemalangan yang membabitkan bapa dan adiknya dekat Jalan Utama Taman Kelisa Ria di sini, kira-kira jam 9.30 malam semalam.

Dalam kejadian terbabit, Roslan Hussain, 48, maut manakala Nur Qaseh, 4, luka di bahagian mulut selepas motosikal yang dinaiki dua beranak itu bertembung dengan sebuah motosikal lain.

Menurut Salsabila, Roslan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan diminta Nur Qaseh untuk membelikan aiskrim.

"Lepas makan, ayah dan adik keluar sebab nak beli aiskrim, adik suka aiskrim, selalu ayah beli banyak-banyak simpan dalam peti ais.

"Tapi semalam aiskrim dia habis sebab tu nak pi beli baru," katanya.

Difahamkan, arwah yang suka bergurau kelihatan agak pendiam sejak beberapa hari lalu.

Perkara itu disedari isteri arwah Nuridayu Dolah, 39, di mana Roslan pernah memberitahu bahawa dia tak mahu pergi kerja lagi selepas ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang keluar dari simpang secara tiba-tiba telah terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal lain.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku dalam kawasan taman di mana jalan tidak mempunyai sebarang penanda jalan yang jelas.

"Akibat kemalangan, mangsa telah terjatuh dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.