Belajar atas pokok untuk naikkan 'viewer' Youtube sendiri

Zahidi Zainul Abidin
Zahidi Zainul Abidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakaman video seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin didakwa terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi membolehkannya menduduki peperiksaan secara dalam talian di Pitas, Sabah sebenarnya sekadar dilakukan hanya bertujuan hiburan dan menaikkan 'viewer' rancangan YouTubenya.

Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menjelaskan hasil siasatan kementeriannya mendapati Veveonah yang juga merupakan seorang Youtuber, sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.

“Untuk pengetahuan Yang Berhormat, adik (Veveonah) yang tadi tersebut seorang Youtuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah. Dia hanya Youtuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita sebagai Yang Berhormat jangan mudah tertipu dengan Youtuber untuk membuat isu," katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang bertanyakan tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet antara bandar dan luar bandar serta mengaitkan isu video tular Veveonah dengan perkara itu.

Sehubungan itu, Zahidi meminta semua wakil rakyat di kawasan tidak ada liputan atau berada di lokasi titik buta untuk memaklumkan permasalahan itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi penyelesaian segera.

“Jadi, kita minta Yang Berhormat di kawasan yang tidak ada line atau blind spot (titik buta), maklumkan pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kita akan segera atasi masalah tersebut terutamanya dari segi pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Zahidi turut menjelaskan kerajaan sedang meningkatkan taraf capaian internet 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus namun masih ada beberapa kawasan titik buta termasuk di bandar.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mendedahkan vandalisme juga turut berlaku menyebabkan kerajaan sukar untuk menaik taraf capaian internet khususnya di luar bandar.

"Sesetengah kawasan luar bandar ada titik buta perlu segera kita tangani dan tambah alat pemancar. Banyak kawasan tersebut wujud di negara kita.

"Ada menara kita pakai set jana kuasa elektrik namun kena curi, ada kawasan kita tanam fiber turut dicuri. Ini antara masalahnya," katanya.