Penjual nasi lemak tak mengaku anjur main kutu

Nor Jaimah (depan, kanan) bersama peguam, Gunamalar ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
Nor Jaimah (depan, kanan) bersama peguam, Gunamalar ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seorang penjual nasi lemak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas pertuduhan menganjurkan kumpulan wang kutu kepada lima individu menerusi laman sosial Facebook dua tahun lalu.

Nor Jaimah Kamarudin, 36, yang merupakan orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu menganjurkan kumpulan wang kutu kepada lima individu yang tidak dikenali dan setiap peserta dikehendaki membayar sejumlah wang tunai kepada kumpulan tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Kubang Semang, Pulau Pinang antara Januari hingga Ogos 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Iqbal Mohd Yusoff meminta mahkamah agar membenarkan wang jaminan ditawarkan terhadap Nor Jaimah.

Katanya, permohonan itu dibuat atas alasan hukuman yang diperuntukkan di bawah kesalahan ini adalah tinggi.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili OKS, Gunamalar Joorindanjn membantah permohonan wang ikat jaminan atas alasan anak guamnya bukan dituduh dalam kes jenayah.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memohon mahkamah membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang kerana kebanyakan saksi berada di negeri terbabit.

Dalam prosiding itu, Siti Aminah tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap Nor Jaimah dan menetapkan 29 September sebagai sebutan semula kes.