Bersatu serah kepada Lembaga Disiplin isu Osman

Ahmad Faizal (kiri) bersama Abd Latiff ketika sidang media di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Ahmad Faizal (kiri) bersama Abd Latiff ketika sidang media di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan kepada Lembaga Disiplin parti itu mengenai tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya mengetahui tentang video tular yang menunjukkan Osman memberi sokongan kepada calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini.

Menurutnya, perbuatan melanggar disiplin parti seperti itu akan dibawa ke Lembaga Disiplin parti untuk menentukan hukuman.

"Lembaga Disiplin parti tentunya akan menyiasat laporan tersebut dan memanggil beliau untuk memberikan keterangan. Sudah tentulah akan ada keputusan dibuat.

"Cuma saya bukanlah individu yang boleh memberi kenyataan dan menentukan tindakan yang boleh dibuat. Kita serah kepada Lembaga Disiplin untuk tentukan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dr Abd Latiff Ahmad di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau mengulas isu video tular Osman yang dilihat menyokong Amir Khusyairi ketika PRK DUN Slim lalu.

Sebelum ini, Bersatu Bahagian Pulai mengumumkan akan membawa Osman kepada Lembaga Disiplin Bersatu susulan tindakan bekas Menteri Besar Johor itu.

Terdahulu, Osman dalam temubual bersama Sinar Harian hari ini menjelaskan beliau sedia berdepan sebarang tindakan yang dikenakan oleh parti terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Saya bersuara demi parti’

Bersatu Pulai mahu Osman dikenakan tindakan disiplin

Osman ada bertemu pemimpin PH