X

Kindly register in order to view this article
!

Enam PATI jadi pemandu bot pelancong Pulau Perhentian

Enam PATI yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong di Pulau Perhentian ditahan dalam serbuan dijalankan semalam. - Foto JIM Terengganu
A
A

BESUT - Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong di Pulau Perhentian dalam satu serbuan dijalankan semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Terengganu, Ungku Joha Ungku Mohamad berkata, enam warga Bangladesh dan Nepal yang tidak memiliki dokumen yang sah itu ditahan dalam operasi yang dijalankan bermula jam 8 pagi.

"Warga Bangladesh dan Nepal yang membawa lima bot berasingan ditahan sepasukan anggota imigresen terdiri daripada 15 pegawai penguat kuasa yang menyamar sebagai pelancong dalam operasi terbabit.

"Kita terpaksa menyamar bagi mengelak mereka mengesan kehadiran pihak penguat kuasa di pulau itu.

"Operasi di pulau peranginan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui intipan dan risikan oleh pihak jabatan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, enam warga asing terbabit ditahan sebaik sahaja bot yang dipandu tiba di lokasi yang dituju.

Beliau berkata, empat warga Bangladesh serta dua warga Nepal berusia antara 25 dan 48 tahun itu ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Siasatan awal mendapati kesemua pendatang asing yang bekerja di Pulau Perhentian dalam tempoh setahun hingga sembilan tahun itu dibayar gaji sekitar RM1,500 sebulan.

“Kesemua mereka dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Besut untuk ujian saringan koronavirus (Covid-19) sebelum ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut," katanya.

Ungku Johar berkata, pihak Imigresen juga akan mengesan kesemua pemilik bot bagi membantu siasatan dan akan turut dikenakan tindakan undang-undang jika sabit kesalahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!