PKPD: Kedah mohon peruntukan daripada KPWKM

Halimaton Shaadiah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pelajar IPTA/IPTS yang layak di sini, hari ini.
Halimaton Shaadiah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pelajar IPTA/IPTS yang layak di sini, hari ini.
A
A
A

JITRA - Kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi membiayai kos sumbangan fasa kedua untuk penduduk di kawasan Perintah Kawalan dan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Amanjaya, Sungai Petani.

Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan negeri Kedah, Halimaton Shaadiah Saad berkata, sumbangan itu adalah bagi meringankan beban kira-kira 4,233 keluarga dalam zon Mawar, Melor dan Kenanga di kawasan berkenaan.

Katanya, pihaknya juga akan mengetengahkan cadangan bentuk bantuan yang sesuai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bencana yang akan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dalam masa terdekat.

"Pada fasa pertama sebelum ini semua ketua isi rumah di kawasan terlibat menerima sumbangan bekalan makanan berjumlah RM100 melalui peruntukan kerajaan negeri di bawah tabung bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Jadi untuk fasa kedua, Insya-ALLAH kita akan cadang bentuk bantuan yang sesuai sama ada wang tunai atau bekalan makanan,"katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan IPTA/IPTS DUN Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau mengalu-alukan sumbangan daripada pihak swasta dan juga badan bukan kerajaan yang berminat untuk turut serta menghulurkan bantuan.

"Sebarang sumbangan boleh disalurkan di pusat pengumpulan di Dewan Kenanga. Alhamdulillah saya lihat agihan bantuan kepada penduduk juga sampai dengan cepat, mungkin disebabkan di sini adalah kawasan perumahan jadi ia lebih mudah untuk diuruskan," kata beliau lagi.

Pada Selasa lalu, seramai 4,148 keluarga yang berada dalam zon Mawar, Melor dan Kenanga di Amanjaya, telah menerima bantuan bekalan fasa pertama yang diagihkan oleh JKM.

Proses penyaluran bantuan bermula sejak 29 Ogos lalu itu merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan jabatan berkenaan dalam memastikan penduduk di kawasan terjejas tidak terbeban dengan bekalan makanan yang terhad.

Artikel Berkaitan: