Syed Saddiq terima kritikan Tun M dengan hati terbuka

Bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto internet
Bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa parti orang muda bakal ditubuhkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan berjaya, diterima pemimpin muda itu dengan hati terbuka.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada) turut mengucapkan terima kasih kepada mentornya yang juga bekas Pengerusi Bersatu itu.

Bagaimanapun, Syed Saddiq menegaskan parti bakal ditubuhkan itu akan diketuai oleh golongan muda untuk semua rakyat Malaysia.

"Terima kasih Tun (Dr Mahathir). Kami terima kritikan dengan hati yang terbuka.

ARTIKEL BERKAITAN: Parti orang muda Syed Saddiq tidak akan berjaya: Tun M

"This is a party led by Youths FOR ALL MALAYSIANS (Ini merupakan sebuah parti dipimpin golongan muda mewakili semua rakyat Malaysia)," katanya hari ini.

Syed Saddiq turut menjelaskan majoriti golongan muda yang memimpin parti itu kelak bukan calang-calang orang.

Sebaliknya, beliau menjelaskan mereka adalah terdiri daripada golongan teknokrat, profesional, usahawan, petani moden, pemimpin pertubuhan sivil dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"We may be young, but we love Malaysia (Kami mungkin masih muda, tetapi kami sayang Malaysia)," katanya.

Hari ini, Dr Mahathir yang juga salah seorang pengasas Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menyifatkan parti orang muda bakal digerakkan Syed Saddiq tidak akan berjaya.

Menurutnya, walaupun orang muda merupakan majoriti dalam pemilihan, namun faktor itu tidak cukup untuk memenangi sesuatu kerusi.

"Tidak cukup untuk menang hanya semata-mata dapat sokongan belia," katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Pada 24 Ogos lalu, Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengesahkan beliau tidak akan menyertai Pejuang ditubuhkan Dr Mahathir.

Syed Saddiq yang sebelum ini menyokong Dr Mahathir itu sebaliknya mengesahkan beliau akan menubuhkan sebuah parti politik baharu berbilang kaum dengan memberi fokus kepada golongan anak muda.

Pada 3 September lalu, pertemuan sulung kumpulan pemimpin anak muda dalam Rundingan Muda Malaysia yang diusahakan Syed Saddiq berjaya diadakan dan berlangsung hampir tiga jam di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini.

Dalam perbincangan yang bermula kira-kira jam 2.15 petang itu, Syed Saddiq berkata, ia dihadiri seramai 30 pemimpin anak muda.

Antara yang hadir, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Abdul Jalil Rasheed dan beberapa pengasas syarikat pemula seperti Vinesh Sinha (FatHopes Energy), Nadhir Shafiq (TheLorry) dan Radzi Tajuddin (Hartabumi).