Bukti ketaatan ahli Pas kepada kepimpinan

Rosli (kiri) dan Wan Rosdy.
Rosli (kiri) dan Wan Rosdy.
A
A
A

KUANTAN - PRK Cameron Highlands mencatatkan sejarah baru dalam dunia politik negara dan satu pengalaman berharga bagi ahli Pas yang bekerja membantu kemenangan calon BN, Ramli Mohd Nor, semalam.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, ia membuktikan ketaatan ahli Pas kepada arahan pucuk pimpinan berasaskan kepada perjuangan untuk memilih calon yang lebih menepati aspirasi Islam dan semangat solidariti untuk menguatkan pembangkang di dalam Dewan Rakyat.

Menurutnya, biarpun Pas dan BN sekian lama bertembung sebagai seteru politik, namun pada PRK itu kali ini, ahli Pas meletakkan kepentingan Islam di hadapan apabila sanggup menghadapi segala bentuk kesukaran dan cabaran membantu calon BN sehingga diumumkan kemenangannya semalam.

“Saya mengharapkan agar kerjasama yang diikat demi kebaikan Islam dan negara ini dapat dieratkan lagi tanpa mengira parti politik, bukan sahaja BN malahan parti-parti lain termasuk PH.

“Ia penting agar Islam dan negara bertuah ini terus terpelihara dengan sebaik-baiknya disamping tidak mendiskriminasikan bangsa dan penganut agama lain yang juga mempunyai hak di negara bertuah ini,” katanya, hari ini.

Rosli berkata, beliau mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas Pas yang bertungkus lumus bekerja sepanjang tempoh berkempen.

“PRK Cameron Highlands berlalu dengan begitu sengit namun kita bersyukur, kemenangan menyebelahi BN.

“Saya juga melihat bukan sahaja pengundi Melayu Islam sahaja malahan pengundi bangsa lain termasuk Orang Asli, Cina dan India juga membantu dan memberikan undi kepada calon BN,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, budaya politik matang dan sejahtera mesti dijadikan syiar dan amalan kerana ia satu pendekatan yang mampu mengikat semangat persaudaraan, mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.

“Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua petugas Pas, semoga segala kesusahan, payah, jerih dan segala bentuk kesukaran yang dihadapi dengan kebaikan di dunia dan akhirat dibalas dengan ganjaran setimpal oleh ALLAH,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut berterima kasih kepada Pas, jentera BN dan parti komponen serta NGO, pasukan keselamatan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam tempoh semasa kempen PRK Cameron Highlands.

Menerusi Facebook rasminya, Wan Rosdy yang juga Menteri besar Pahang berkata, bermula hari penamaan calon hinggalah hari pengundian semalam, banyak onak dan duri lalui bersama namun lebih manis apabila BN terus diberi mandat untuk menerajui kerusi parlimen tersebut.

“Semoga jasa dan pengorbanan anda semua mendapat balasan pahala oleh ALLAH,”katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ramli atas kemenangan bermakna itu dan mengharapkan ahli parlimen baharu ini dapat berkhidmat dengan sebaiknya demi masyarakat Cameron Highlands.